X

Kindly register in order to view this article
!

Geng plastik hitam cemari Ramadan

Seorang lelaki dilihat menceduk lauk untuk dibungkus dengan topi keledar masih di kepala.
A
A

SUNGAI PETANI - Ramadan yang kini memasuki hari ke-16 dicemari dengan perbuatan kaki ponteng puasa yang dikesan membeli nasi seawal jam 11 pagi tadi.

Tinjauan Sinar Harian mendapati 'geng plastik hitam' ini tidak mengendahkan bulan puasa dengan membeli makanan secara terbuka sebelum jam 3 petang sepertimana arahan ditetapkan kerajaan negeri.

Sebuah kedai di daerah ini dikesan menyediakan pelbagai menu lauk masakan kering dan berkuah serta air dibungkus kepada orang ramai tanpa selindung.

Dalam pada itu, kewujudan motosikal dan kereta yang berhenti di tepi jalan menjadi tanda tanya pengguna jalan raya, apa yang sebenarnya berlaku di kawasan itu.

Salah sebuah kedai yang dibuka sebelum jam 3 petang menjadi tumpuan orang ramai termasuk golongan remaja.
Salah sebuah kedai yang dibuka sebelum jam 3 petang menjadi tumpuan orang ramai termasuk golongan remaja.

Bagaimanapun, setelah diamati rupa-rupanya mereka datang untuk membungkus makanan dan berlalu pergi setelah hajat dipenuhi.

Kedudukan kedai yang terletak di persimpangan jalan pula menjadi tumpuan sesiapa sahaja yang melalui kawasan terbabit.

Selain kawasan itu, beberapa lokasi lain di daerah ini turut dikesan menjual makanan buat 'geng plastik hitam' berdasarkan maklumat diperoleh.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Syeikh Mohd Noor Ismadi Ismail berkata, tindakan tegas boleh dikenakan kepada mereka yang gagal mematuhi undang-undang serta menghormati bulan Ramadan.

Menurutnya, membeli dan menjual makanan pada masa tidak sepatutnya di bulan puasa merupakan perbuatan haram di sisi agama.

Kelihatan seorang lelaki keluar dengan membawa sebungkus nasi dan air sirap kira-kira jam 11 pagi tadi.
Kelihatan seorang lelaki keluar dengan membawa sebungkus nasi dan air sirap kira-kira jam 11 pagi tadi.

"Perbuatan mereka menjual makanan waktu pagi mempengaruhi orang lain supaya tidak berpuasa adalah haram selain memperoleh pendapatan hasil jualan yang tidak berkat dan menggalakkan maksiat.

"Tindakan penguatkuasaan akan dilakukan berdasarkan aduan yang diterima dari masa ke semasa atas dasar mencegah kemungkaran,"katanya.

Beliau berkata, golongan itu bukan hanya ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih dikuatkuasakan selepas penularan wabak koronavirus (Covid-19) malah sebagai umat Islam, mereka mengingkari perintah rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan.

Katanya, mana-mana individu yang didapati bersalah, boleh disiasat mengikut Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!