X

Kindly register in order to view this article
!

'MU tolong jangan buat kelakar'

United memerlukan masa yang lama untuk kembali menjadi pasukan gergasi EPL.
A
A

BEKAS pemain Manchester United, Pual Ince percaya bukan mudah buat The Red Devils untuk kembali menjadi pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam masa terdekat.

Menurutnya, keupayaan sesebuah pasukan untuk kembali menjadi pencabar dalam EPL bukan hanya boleh dibentuk melalui pembelian pemain bintang apabila jendela perpindahan dibuka nanti.

"Ia akan memakan masa yang lama untuk kembali menjadi pesaing sebenar dan sesiapa di Old Trafford yang fikir mereka boleh melaburkan duit dan kembali membentuk pasukan dalam dua atau tiga tahun, mereka hanya sedang buat kelakar.

"Saya akan melihat sejak Alex Ferguson tinggalkan United sebagai titik awal untuk menuju ke mana kita harus sampai sekarang, dengan Liverpool jauh di depan United.

"David Moyes datang ke United pada ketika itu dan tidak mendapat dana dan sokong yang diharapkan untuk membentuk pasukan, kemudian Louis van Gaal pula tiba. Namun dia bukan orang yang tepat untuk jawatan itu.

“Selepas itu United mendapatkan Jose Mourinho dan dia tidak gembira sejak hari pertama dia tiba di kelab itu dengan pelbagai masalah selain tidak sehaluan dengan pemain tengah Paul Pogba. Kemudian Ole Gunnar Solskjaer pula mengambil alih dengan latar belakangnya yang kurang berpengalaman," katanya.

Ince turut berpendapat pertukaran beberapa jurulatih yang dilakukan United itu memberikan kesan kepada pasukan dalam membentuk kembali ideologi dalam setiap diri pemain.

"Hasil akhirnya adalah terdapat banyak kerosakan yang disebabkan oleh ketidakstabilan di kelab selama enam tahun terakhir dan pada masa yang sama, Liverpool mempunyai kestabilan, terutama sejak Jurgen Klopp masuk.

"Liverpool mempunyai perancangan walaupun bergelut pada awalnya sejak kehadiran Klopp, tetapi mereka kini sedang menuai hasil.

"Di United, para pengurus telah datang dan pergi. Mereka mempunyai idea mereka sendiri mengenai pemain, menghabiskan banyak masa untuk menandatangani pemain yang tidak tepat," katanya.

Dalam pada itu, Ince turut percaya United perlu mencari orang yang betul dalam menguruskan soal perpindahan pemain dan mencari pemain yang betul-betul layak menyarung jersi The Red Devils.

"Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward telah gagal dalam urusan pembelian pemain. Saya tidak rasa United akan boleh pergi jauh jika perkara ini masih berlaku.

"United perlu mencari orang yang sesuai dan tahu mengenai permainan perpindahan pemain ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus