Nampak harimau sedang minum

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang penyelia ladang membuat laporan polis kerana mendakwa melihat seekor harimau dewasa sedang minum di sungai berhampiran ladang kelapa sawit di Felda Chini Timur 4, Pekan dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, pengadu berusia 29 tahun itu mendakwa kejadian berlaku pada jam 11.30 pagi, semasa dia bersama 16 pekerja warga Bangladesh sedang mengait buah kelapa sawit.

"Pengadu mendakwa mendengar bunyi ngauman harimau menyebabkan dia bersama seorang pekerja ladang cuba mencari dari mana bunyi itu datang. Apabila melihat harimau, pengadu dan pekerja ladang pulang ke pejabat ladang untuk memaklumkan kejadian kepada pengurus ladang," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pengadu bersama wakil dari pejabat pengurusan kembali semua ke ladang dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda pada jam 1 petang untuk mengambil gambar harimau berkenaan, difahamkan untuk dijadikan bukti semasa membuat laporan polis.

Bagaimanapun, menurutnya, mereka gagal menemui harimau itu walaupun masih mendengar bunyi ngauman dari dalam ladang menyebabkan kesemua mereka tidak berani untuk meneruskan hasrat mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: