Jangan pernah putus asa

Yusri
Yusri
A
A
A

KETUA Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah menuntut anak-anak buahnya untuk terus berjuang mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) yang dijangka bersambung September depan meskipun mereka dihimpit pelbagai masalah.

Yusri menyifatkan perjuangan harus diteruskan dan menggesa semua pemain The Red Warriors (TRW) untuk tidak berputus asa.

Beliau pada masa sama mengharapkan penyokong setia Kelantan terus berada di belakang barisan pemain untuk memberikan sokongan padu buat pasukan itu.

“Saya harap sesuatu yang baik akan menanti Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan sentiasa berdoa akan ada jalan untuk mereka mengharungi setiap masalah yang ada ketika ini.

“Macam mana sekalipun, tugas saya sebagai jurulatih tetap berjalan dan saya berharap para pemain juga tidak hilang semangat untuk terus berjuang walau apa jua cabaran dan rintangan yang berlaku.

“Memang bukan Kelantan saja berdepan masalah, malah pasukan lain turut terkesan lebih-lebih lagi dengan wabak Covid-19. Cuma masing-masing kena hadapi juga dan sekiranya kerajaan meluluskan saingan liga diteruskan, kami tetap akan melakukan yang terbaik untuk pasukan.

“Buat pengurusan, semoga semuanya akan kembali pulih untuk KAFA tidak berputus asa cari jalan terbaik menyelesaikan apapun kemelut yang berlaku demi pasukan Kelantan,” katanya.

Ketika ini, KAFA dipalit tekanan bagi meneruskan saingan Liga-M yang dijangka disambung kembali September depan ekoran kes tunggakan gaji bekas pemain import, Casio Francisco De Jesus berjumlah RM629,620.28.

Artikel Berkaitan:

Dengan diberi tempoh selama 30 hari bermula 23 April lalu, KAFA perlu menjelaskan tunggakan lebih setengah juta itu atau berdepan hukuman lebih berat daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).