UMNO pertahan kerajaan PN hingga PRU15: Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO teguh berpendirian mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk hasil kerjasama UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN), rakan Muafakat Nasional iaitu Pas dan Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, komitmen UMNO ketika menyokong pencalonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lalu adalah bagi menyelamatkan negara daripada terus terbelenggu dengan krisis politik yang tercetus lantaran kemelut berterusan perebutan jawatan Perdana Menteri dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti-parti Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, nama Perikatan Nasional hanyalah satu istilah dicadangkan bagi menzahirkan suatu kerjasama terbentuk pada saat ketika pembentukan kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin setelah runtuhnya PH akibat peletakan jawatan secara rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad 24 Februari lalu.

“Perikatan Nasional sehingga hari ini tetap kekal sebagai sebuah gabungan Ahli-Ahli Parlimen yang mewakili dan membawa mandat parti-parti politik masing-masing dalam membentuk kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri.

“Perikatan Nasional tidak sama dengan BN mahupun Muafakat Nasional. BN adalah parti politik berdaftar yang di bawahnya merupakan parti-parti yang bergabung secara rasmi khususnya UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS),” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalannya apakah benar UMNO bakal tinggalkan kerajaan PN.

Asyraf Wajdi turut meletakkan 10 asas penting yang harus terlebih dahulu difahami secara tuntas berhubung persoalan berkenaan dalam kenyataannya itu.

Beliau menegaskan, Perikatan Nasional tidak sama dengan Muafakat Nasional walaupun kedua-duanya tidak berdaftar.

Artikel Berkaitan:

"Muafakat Nasional adalah suatu kesepakatan rasmi yang diikat melalui sebuah Piagam yang termeterai antara UMNO

“Pembentukan Muafakat Nasional juga melalui proses panjang termasuk proses ‘mind-conditioning’ dalam kalangan ahli melalui ratusan siri ceramah di semua peringkat selama lebih setahun, dibahaskan di Persidangan Agung parti masing-masing, diperhalusi oleh Majlis Kerja Tertinggi dan Majlis Syura sebelum dimuktamadkan dalam bentuk Piagam Kerjasama,” katanya.

Beliau berkata, cadangan pembentukan Perikatan Nasional secara rasmi juga seharusnya melalui proses sama kerana tidak mudah untuk parti-parti politik khususnya UMNO dan Bersatu untuk mewujudkan sebuah gabungan sebagaimana BN mahupun Muafakat Nasional kerana kebanyakan Ahli-ahli Parlimen Bersatu hari ini merupakan mereka yang dahulunya menang PRU14 atas tiket parti UMNO-BN sebelum melompat parti.

Menurutnya, keputusan untuk mendaftarkan Perikatan Nasional secara rasmi juga perlu mengambil kira krisis dalaman Bersatu ketika ini yang mengundang persoalan sejauh mana Bersatu mampu bertahan dalam Perikatan Nasional, terutamanya setelah pendirian rasmi dikeluarkan Pengerusi Bersatu sendiri dan sayap parti itu yang menolak kerjasama dengan UMNO dan mahu kembali kepada PH.

“Presiden Bersatu juga sedang dicabar anak kepada Pengerusi Bersatu sendiri dalam pemilihan parti mereka akan datang,” katanya lagi.

Asyraf berkata, tidak pernah timbul UMNO mahu meninggalkan Perikatan Nasional kerana rata-rata ahli dan rakyat keseluruhannya amat bersyukur dengan pembentukan kerajaan ini yang berjaya menyelamatkan negara daripada krisis politik yang meruncing sekali gus membebaskan negara daripada parti cauvinis dan rasis DAP dan kerakusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hanya memfokuskan perjuangannya sejak dari awal untuk menaikkan Presidennya sebagai Perdana Menteri.

Sehubungan itu, katanya, UMNO akan tetap terus pertahankan kerajaan Perikatan Nasional sehingga PRU15 bagi memastikan kerajaan yang berpaksikan Islam dan Bumiputera ini mampu memulihkan segala kerosakan yang dilakukan kerajaan PH terdahulu.

“Di samping memastikan nasib rakyat berbilang kaum mampu dibela terutamanya pasca Covid-19 yang merubah landskap kehidupan ekonomi dan sosial masyarakat!,” katanya.