Armada Perak tolak kerjasama dengan PH

Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh
Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh
A
A
A

IPOH - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak menolak sebarang usaha untuk parti itu kembali bersama Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, Armada Bersatu Perak menyokong penuh kepimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional ketika ini.

Menurutnya, Bersatu sebelum ini telah dikhianati rakan gabungan mereka dalam PH apabila kebanyakan pemimpin daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) tidak berhenti mendesak Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

"PH juga di peringkat awalnya mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku calon Perdana Menteri namun membuat 'u-turn' menyokong kembali Dr Mahathir setelah melihat sokongan terhadap Anwar sebagai calon Perdana Menteri tidak mencukupi dan amat lemah.

ARTIKEL BERKAITAN: Armada tolak UMNO, kembali kepada PH

"Antara bukti jelas pengkhianatan parti komponen PH terhadap Bersatu ialah rakaman video seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (DAP) Perak yang membuat rancangan jahat untuk menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi PH Perak semasa kerajaan PH berkuasa di negeri ini," katanya dalam kenyataan media bersama semua ketua-ketua Armada Bahagian Bersatu Perak hari ini.

Mohd Hafiz Mubin berkata, sehubungan itu, pihaknya tidak akan menerima sebarang usaha pihak tertentu untuk mengadakan kerjasama semula bersama PH.

Menurutnya, Armada Bersatu Perak berikrar akan terus bekerja kuat untuk Bersatu dan menyokong segala usaha Muhyiddin dalam memperkukuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Semalam, Armada Bersatu Pusat dalam kenyataan medianya menyokong pendirian Dr Mahathir untuk tidak bekerjasama dengan UMNO dan mahu kembali bekerjasama dengan PH.

Artikel Berkaitan:

Pendirian itu dibuat berdasarkan undian yang dibuat ketika perjumpaan dan dipersetujui oleh lebih 2/3 ahli mesyuarat dan selebihnya berkecuali tanpa ada yang menolak.