Pentingnya didikan taqwa sempurna, bukannya daripada wang ringgit

Keterangan gambar - Dr Harlina (kanan) bersama Fazrul ketika lintas langsung sempena program program Majlis Ayah: Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk Ayah bukan mesin ATM hari ini.
Keterangan gambar - Dr Harlina (kanan) bersama Fazrul ketika lintas langsung sempena program program Majlis Ayah: Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk Ayah bukan mesin ATM hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Doa penting bagi seorang ayah supaya zuriatnya dapat meneruskan legasi tauhid dengan didikan taqwa sempurna dan bukan menggunakan wang ringgit.

Pakar Kekeluargaan juga Pengarah Pusat CITRA Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj berkata, oleh itu, ayah dan ibu perlu bijak memenuhi keinginan dan permintaan anak-anak mereka.

"Agaknya anak-anak zaman sekarang ini seperti yang sering diperkatakan iaitu mahu apa sahaja pasti dapat sehingga mereka mungkin melihat ayah dan juga ibu mereka seperti mesin ATM (mesin juruwang automatik)

"Tambahan pula jika ayah dan ibu mungkin menggunakan wang sebagai umpan untuk menutup kekurangan mereka yang kadang-kala sibuk bekerja dan tidak banyak masa bersama anak-anak.

"Oleh sebab itu, ayah dan ibu akan bersimpati dan membelanjakan wang ringgit untuk anak anak mereka sebagai menutup kekurangan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Majlis Ayah: Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk 'Ayah bukan mesin ATM' di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam di sini hari ini.

Hadir sama, Imam masjid berkenaan, Sheikh Abdul Karim Almakki yang mengalunkan bacaan Surah Maryam, ayat 1 hingga 15 manakala Ketua Penyelidik Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF), Fazrul Ismail sebagai pentadabbur.

Mengulas lanjut, Dr Harlina berkata, cara itu secara tidak langsung memberikan satu mesej jelas daripada ayah dan ibu bahawa kalau ada wang anak-anak tidak perlu bersusah-payah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, agak malang apabila keadaan itu berlaku berterusan menyebabkan anak-anak tidak menghargai rezeki pemberian daripada ALLAH SWT.

"Anak-anak akan nampak senang, minta sahaja wang akan dapat walaupun kadang-kala kita sebagai ibu dan ayah berada dalam satu situasi yang perit. Wang yang ada pun tidak mecukupi.

"Tambah pula ketika pandemik Covid-19 ini, kita nampak (melalui pendedahan yang dikongsikan) bahawa simpanan kewangan masyarakat di Malaysia ini adalah sangat sedikit.

"Maknanya kita boleh bertahan dalam tempoh sebulan hingga dua bulan dan keadaan itu sangat membimbangkan yang mungkin berpunca daripada sikap boros ibu dan ayah sendiri," katanya.

Sehubungan itu, katanya, sebagai ayah dan ibu, kehendak anak mereka perlu difikirkan terlebih dahulu sebelum ditunaikan dan tidak terlalu mengikut permintaan itu.

Bagaimanapun, beliau mengakui mungkin kehidupan ayah dan ibu itu pada waktu dahulu agak susah menyebabkan mereka tidak mahu anak anak berada dalam situasi sama sehingga memenuhi sahaja permintaan anak-anak.

"Mungkin dahulu ayah dan ibu terpaksa berkira-kira dengan adik-beradik lain untuk membeli barang yang dikehendaki. Dalam konteks itu sebenarnya kita perlu pastikan anak-anak kita tidak melihat kita seperti mesin ATM sahaja.

"Ayah dan ibu perlu berdisiplin agar anak-anak tidak melihat kita bukan hanya melalui kewangan. Ini menjadi cabaran besar kepada kita semua untuk memberi kefahaman kepada anak-anak," katanya.