Terengganu tidak benarkan makan di restoran, kedai makan

Dr Alias (dua dari kanan) dan Ahmad Shah (kanan) sewaktu membuat tinjauan pematuhan PKPB di Pasar Payang.
Dr Alias (dua dari kanan) dan Ahmad Shah (kanan) sewaktu membuat tinjauan pematuhan PKPB di Pasar Payang.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu membuat keputusan tidak membenarkan pelanggan untuk makan di restoran dan kedai makan buat masa ini berkuatkuasa serta-merta.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) supaya tidak membenarkan pelanggan makan di premis kedai makan buat masa ini.

Bagaimanapun menurutnya, restoran dan kedai makan boleh beroperasi seperti biasa dengan pelanggan dibenarkan untuk membungkus makanan.

"Walaupun kerajaan Pusat membenarkan untuk makan dalam restoran dan kedai makan tapi memandangkan suasana beberapa hari ini agak sukar untuk orang kita mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ini.

"Dalam musim ini, kita perlu buat banyak kajian mengikut kesesuaian, waktu dan tempat serta suasana.

"Setelah mempertimbangkan segala aspek dan demi keselamatan dan kesihatan rakyat, keputusan ini dibuat dalam mesyuarat Exco pagi tadi," katanya setelah membuat tinjauan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pasar Payang hari ini.

Dr Alias bertanyakan sesuatu kepada peniaga kedai emas di Pasar Payang.
Dr Alias bertanyakan sesuatu kepada peniaga kedai emas di Pasar Payang.

Turut hadir, timbalannya, Ahmad Shah Muhamed dan wakil Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Alias berkata, peniaga restoran dan kedai makan mungkin perlu menunggu sehingga 12 Mei nanti sekiranya terdapat perubahan baharu kerana keutamaan kini adalah bagi memastikan rakyat Terengganu selamat dan tiada jangkitan baharu.

Beliau berkata, bagi waktu operasi pula, restoran atau kedai makan bukan Islam boleh dibuka dari jam 7 pagi hingga 10 malam sementara premis kedai makan milik orang Islam dibenarkan beroperasi dari jam 3 petang sehingga 10 malam sepanjang Ramadan.

Katanya, premis makanan segera pula boleh beroperasi bermula jam 12 tengah hari hingga 10 malam.

"Bagi memastikan pematuhan kepada SOP baharu ini, kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, polis dan JKNT dengan membuat pemantauan dari masa ke masa.

"Kemungkinan jika perlanggarannya sangat membahayakan, mereka boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau kerajaan negeri akan mengambil keputusan menarik balik kelulusan kelonggaran," katanya.