Rentas negeri bermula esok

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Orang ramai yang terkandas sebelum ini, kini boleh kembali ke kediaman masing-masing dengan membuat perjalanan rentas negeri bermula esok sehingga Ahad ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui aplikasi Gerak Malaysia telah menetapkan empat hari mulai esok (7 Mei 2020) sehingga Ahad (10 Mei 2020) bagi membolehkan orang ramai yang terkandas membuat perjalanan merentas negeri untuk kembali ke kediaman masing-masing.

Menurutnya, menerusi ketetapan empat hari itu, esok hanya dikhususkan untuk orang ramai yang terkandas di Kuala Lumpur untuk pulang ke kediaman mereka di negeri-negeri lain atau mengambil ahli keluarga mereka yang terperangkap di kampung.

“Bagi mereka yang berada di Kuala Lumpur dan mengambil ahli keluarga di kampung, permohonan juga perlu dibuat melalui Gerak Malaysia ini dan memaklumkan mengenai perjalanan mereka sama ada mereka balik hari atau tinggal di beberapa di kampung.

“Bagaimanapun mereka perlu mengikut jadual pergerakan rentas negeri yang dikeluarkan oleh pihak polis untuk pulang semula ke Kuala Lumpur mengikut negeri-negeri,” katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Jumaat pula dikhususkan untuk pergerakan bagi mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan menuju ke kediaman masing-masing.

Katanya, pada 9 Mei pula adalah pergerakan yang dikhususkan kepada mereka di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.

“Pergerakan pada 10 Mei pula untuk mereka yang berada di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

“Pada tarikh pergerakan ditetapkan, tiada kemudahan makanan disediakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang lebuh raya yang dilalui.
Artikel Berkaitan:


"Surau sepanjang lebuh raya juga akan ditutup dan orang ramai tidak dibenarkan bersolat di kawasan lapang atau bangunan sekitar R&R. Hanya kemudahan tandas awam beroperasi di lebuh raya,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, kawasan letak kereta hanya untuk tujuan rehat dan pengguna yang singgah tidak dibenarkan keluar dari kenderaan masing-masing kecuali untuk menggunakan tandas awam.

Katanya, stesen minyak di lebuh raya pula hanya akan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam dan pengguna juga dilarang membuat pergerakan secara berkumpulan di sepanjang lebuh raya.