14 individu bujang sertai parti liar ditahan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Seramai 14 individu termasuk tiga wanita ditahan kerana mengadakan parti liar sekali gus mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah apartment di Jalan CM Yusof, Pekan Bharu awal pagi tadi.

Kesemua mereka berusia 20 hingga 25 tahun dan masih bujang ditahan pasukan Op Cantas Covid-19 dalam satu serbuan kira-kira jam 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika serbuan dilakukan kesemua suspek sedang leka berhibur tanpa menyedari kehadiran polis.

"Anggota telah mengetuk pintu beberapa kali supaya penghuni membuka pintu namun gagal.

"Setelah berjaya memecahkan pintu dapati semua penghuni sedang berhibur dengan muzik yang kuat," katanya.

Menurutnya, semua tangkapan warga tempatan itu memberi penjelasan tidak munasabah dan gagal kemukakan sebarang lesen atau permit pesta hiburan persendirian.

"Mereka juga mengaku tahu dan faham akan pelaksanaan PKP yang telah dikeluarkan kerajaan berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19) ini," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada yang ditahan memiliki rekod lampau kesalahan curi di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lelaki berusia 24 tahun itu masih belajar di sebuah kolej swasta di sini.

"Kesemua mereka kini ditahan reman sehingga 7 Mei bagi siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 12(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sebuah komputer riba, lampu laser dan tiga pembesar suara yang digunakan dalam acara berkenaan," katanya.