Abang sado pukul kepala wanita ditahan polis
IPOH - Seorang penyelia sebuah kilang ditahan selepas video memukul kepala seorang pemandu wanita tular pada Selasa.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tindakan tersebut dilakukan selepas pihak polis menerima laporan yang dibuat seorang wanita berusia 24 tahun pada Selasa di Balai Polis Saujana Utama Sungai Buloh, Selangor.
Menurutnya, susulan itu pihak polis menjejaki suspek menerusi nombor pendaftaran kenderaan yang dinaiki suspek atas nama seorang wanita beralamat di Tanjong Karang, Selangor.
"Usaha mengesan suspek telah berjaya dibuat di sekitar daerah Serdang, Selangor. Suspek berumur 29 tahun merupakan seorang penyelia kilang di Serdang, Selangor.
"Suspek akan dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Tapah, Perak untuk siasatan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati, kejadian itu berlaku pada 5 Jun 2023 jam 5.33 petang ketika mangsa dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya berusia 17 tahun.
Katanya, ketika itu mangsa cuba memotong sebuah kereta Proton Persona warna kelabu yang berada di hadapannya namun tidak dapat berbuat demikian.
"Suspek kemudiannya menunjukkan isyarat lucah sehingga jalan mula menjadi sesak berhampiran dengan Pusat Peranginan Lata Iskandar sebelum turun dari kenderaannya dan mengetuk cermin kereta mangsa.
"Apabila mangsa menurunkan cermin kereta, suspek telah memarahi dan secara tiba-tiba memukul kepala mangsa serta mengeluarkan kata-kata ugutan," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323, 506 dan 509 Kanun Keseksaan.
Pada Selasa, satu rakaman video tular di media sosial memaparkan tindakan seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan pemanduan seorang wanita sebelum memukul kepala wanita tersebut.