Buat aduan jika terdapat ketidakpatuhan kod etika pegawai kehakiman

A
A

PUTRAJAYA - Orang awam boleh membuat aduan sekirannya terdapat ketidakpatuhan Kod Etika Kehakiman oleh pegawai kehakiman.

Kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan hari ini, menyatakan Kod Etika Kehakiman 2019 berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 memperuntukkan 24 perkara terpakai kepada pegawai kehakiman termasuklah hakim Mahkamah Sesyen, Majistret dan Pendaftar yang menjalankan perbicaraan.

Antara Kod Etika Kehakiman adalah seseorang pegawai kehakiman tidak boleh terlibat atau mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti politik dan tidak melakukan apa-apa kelakuan yang mungkin menimbulkan penampilan bahawa pegawai kehakiman terlibat dalam aktiviti politik.

Pegawai kehakiman juga hendaklah melupuskan semua tugas kehakimannya dengan adil, cekap, tekun dan dengan segera.

Kod Etika itu juga menyatakan seorang pegawai kehakiman harus bersabar, bermaruah dan sopan terhadap kesemua orang yang mereka berurusan.

Kenyataan itu menyatakan Kod Etika yang dilancarkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum semasa Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2019 pada 11 Januari lepas, bertujuan untuk memberi panduan dalam menetapkan dan mengekalkan taraf yang tinggi bagi kelakuan peribadi dan kehakiman.

"Badan kehakiman Malaysia sentiasa berusaha untuk menjadi sebuah institusi yang telus, adil dan berintegriti,” menurut kenyataan itu.

Sekiranya terdapat ketidakpatuhan kod tersebut oleh mana-mana pegawai kehakiman, pihak berkepentingan dan orang awam boleh membuat aduan dengan menghubungi 013-2807841 (WhatsApp sahaja)/017-9689848 (WhatsApp sahaja) atau melalui [email protected] - Bernama