X

Kindly register in order to view this article
!

Venezuela gagalkan cubaan gulingkan Maduro

Pasukan keselamatan berkawal di Macuto selepas insiden serangan yang didakwa sebagai cubaan menggulingkan Maduro. - FOTO: AGENSI
A
A

CARACAS - Venezuela semalam mendakwa berjaya menggagalkan serangan ‘pengganas’ dari laut yang didakwa merancang untuk menggulingkan Presiden Nicolas Maduro.

Menteri Dalam Negeri, Nestor Reverol berkata, kumpulan tersebut yang dipercayai dari Colombia menaiki bot laju dan cuba untuk mendarat sebelum waktu subuh di bandar Macuto terletak kira-kira 34 kilometer di utara Caracas, namun dipintas oleh tentera dan unit khas polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua parti pemerintah Parti Sosialis, Diosdado Cabello berkata, seramai lapan penyerang terkorban manakala dua lagi termasuk seorang ejen Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat telah ditahan.

“Pihak berkuasa masih mengesan saki baki kumpulan terbabit melalui operasi besar-besaran di darat, udara dan laut selepas bot dinaiki mereka karam dalam kejadian tersebut,” katanya.

Cabello turut mendakwa operasi tersebut dirancang AS dan DEA dengan mendapat sokongan Colombia yang merupakan sekutu kuatnya di Amerika Selatan.

Menurutnya, salah seorang yang terbunuh adalah bekas pegawai tentera, Roberto Colina yang mempunyai kaitan dengan jeneral bersara, Cliver Alcala.

Alcala yang merupakan pengkritik lantang Maduro mendapat perhatian ramai pada Mac lalu selepas beliau menyerah diri kepada ejen DEA di Colombia dan diterbangkan ke New York selepas didakwa terlibat dengan kartel dadah bersama Maduro.

Colombia bagaimanapun menafikan dakwaan Venezuela itu.

Dalam satu kenyataan lain, pemimpin pembangkang, Juan Guaido yang diiktiraf lebih 50 negara sebagai Presiden Venezuela mendakwa pentadbiran Maduro cuba untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada insiden keganasan di negara itu termasuk rusuhan ganas di penjara pada Jumaat lalu. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!