MySejahtera bantu kesan lokasi panas Covid-19

Dr Noor Hisham menunjukkan Aplikasi MySejahtera selepas sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham menunjukkan Aplikasi MySejahtera selepas sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Penggunaan aplikasi MySejahtera membantu orang ramai mendapatkan maklumat lokasi panas wabak koronavirus (Covid-19) dalam lingkungan 1km dari alamat pengguna atau lokasi carian

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, aplikasi tersebut juga dapat memberikan maklumat berkaitan fasiliti saringan wabak itu yang terdekat dan bantuan nasihat secara dalam talian.

Menurutnya, aplikasi itu dibangunkan kerajaan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi membantu dalam pengawasan penularan Covid-19 dengan memperkasakan rakyat untuk prihatin kepada kesihatan kendiri dan keadaan semasa wabak itu di Malaysia.

"Selain untuk diri sendiri, pengguna juga boleh mendaftarkan maklumat berhubung ahli keluarga yang tidak mempunyai telefon pintar, di mana MySejahtera akan turut membantu menilai tahap kesihatan ahli keluarga atau individu lain yang didaftarkan.

"Pengguna yang memuat turun aplikasi ini perlu mengemaskini kepada versi terbaharu bagi mendapat manfaat penuh MySejahtera dan ia akan ditambah baik dengan ciri-ciri terkini serta dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, KKM menyeru semua rakyat dan juga bukan warganegara Malaysia yang berada di negara ini untuk memuat turun aplikasi MySejahtera, serta melakukan penilaian kendiri untuk mengetahui risiko terhadap jangkitan Covid-19 melalui aplikasi tersebut.

"Selain itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membangunkan aplikasi MyTrace. Aplikasi ini membolehkan kerajaan menjalankan pengesanan kontak kepada individu yang disahkan positif Covid-19.

"MyTrace adalah pelengkap kepada aplikasi MySejahtera. Pengesanan kontak (contact tracing) adalah sangat penting supaya dapat diketahui siapa yang pernah berada berdekatan dengan seseorang yang dikenalpasti positif wabak tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kedua-dua aplikasi itu adalah percuma dan rakyat adalah digalakkan untuk mendapatkan kedua-dua aplikasi berkenaan.