Polis Selangor fokus kawasan tumpuan awam

MUHAMMAD YAZID
MUHAMMAD YAZID
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor akan menumpukan operasi di kawasan tumpuan dengan menekankan penjarakan sosial orang ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan bermula hari ini.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, ia bagi mengurangkan risiko orang ramai bersentuhan bagi membendung penyebaran wabak pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, pihaknya juga mahu memastikan orang ramai mengamalkan normal baharu sepanjang aktiviti harian ketika PKPB ini.

"Kita akan memfokuskan di kawasan tumpuan seperti kilang, stesen-stesen pengangkutan awam, taman rekreasi, restoran serta pasar awam.

"Orang awam diminta untuk bersikap lebih matang dan bertanggungjawab sepanjang tempoh PKPB dengan mengamalkan penjarakan sosial, menggunakan topeng hidung dan mulut, kerap mencuci tangan serta membersihkan diri apabila pulang ke rumah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Berhubung pergerakan orang ramai yang terkandas dan mahu pulang ke kediaman masing-masing, beliau berkata, pihaknya telah bersiap siaga bagi mengawal perkara itu.

Katanya, pergerakan telah ditetapkan dan pihaknya tidak mahu orang ramai tertumpu di kawasan dalam jumlah yang ramai khususnya di hentian rehat dan rawat (R&R) sambil menegaskan perjalanan pulang menyambut hari raya adalah tidak dibenarkan.

Selain itu, Muhammad Yazid berkata, ketika PKPB ini juga, hanya terdapat sebanyak 43 sekatan jalan raya berbanding sebelum ini iaitu 102.

Artikel Berkaitan:

Berhubung tangkapan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga semalam, Polis Selangor telah menahan 5,473 orang termasuk 2,124 warga asing membabitkan 2,479 kertas siasatan.

"Jumlah pertuduhan yang dibuat juga mencecah 61.4 peratus iaitu seramai 3,321 orang telah dituduh di mahkamah," katanya.