Paradigma bantuan khas Covid-19 ZPP

No Image Caption
A
A
A

KRISIS penularan pandemik Covid-19 telah mengakibatkan gangguan kesenjangan (ketidakseimbangan) ekonomi apabila ada rakyat yang hilang pendapatan, hilang pekerjaan, perniagaan merosot sekali gus menggawatkan kestabilan ekonomi isi rumah.

Walaupun dunia sebelum ini pernah menghadapi krisis kewangan pada 2008 dan sebelumnya sebanyak 124 kali antara 1970 dan 2007, namun kali ini cabarannya nyata berbeza dan sukar.

Pandemik Covid-19 bakal mencetuskan kemelesetan ekonomi global yang menyaksikan semua negara terlibat termasuk Malaysia berhati-hati dalam menilai akibat krisis pandemik ini.

Justeru, kerajaan telah melancarkan tiga pakej rangsangan ekonomi bagi menangani kewujudan dan kesan kemelesetan ekonomi ini. Menariknya, inisiatif ekonomi zakat juga diberi ruang untuk merangsang ekonomi rakyat yang terkesan dengan krisis ini.

Institusi zakat merupakan badan paling awal telah bergerak dan mara ke hadapan dalam membantu negara menyantuni rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

Setakat ini, sebanyak hampir RM200 juta bantuan zakat sudah disalurkan kepada asnaf dan golongan yang terkesan dengan wabak Covid-19 oleh institusi-institusi zakat negeri di seluruh negara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di Pulau Pinang, sebanyak RM19 juta bantuan khas telah diperuntukkan daripada dana zakat oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Berdepan dengan fenomena luar biasa ini, ZPP segera mengambil langkah proaktif dan responsif dalam spektrum sosioekonomi ummah untuk menjadi benteng umat Islam di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Empat pakej Bantuan Khas Covid-19 Fasa 1 yang berjumlah RM6 juta telah dilancarkan oleh ZPP iaitu:

1. Bantuan mensasarkan golongan peniaga kecil dan penjaja gerai tepi jalan iaitu setiap ketua keluarga diberi bantuan sebanyak RM500.

2. Bantuan Kewangan Sara Hidup Bulanan yang dipercepatkan penyalurannya kepada asnaf fakir dan miskin.

3. Bantuan Kecemasan Kariah, difokuskan kepada masyarakat Muslim yang terputus makanan semasa krisis.

4. Sumbangan kepada masjid dan surau di Pulau Pinang yang berjumlah lebih 700 buah bagi kerja-kerja pembersihan dan nyahkuman untuk menjamin keselamatan anak-anak kariah mendapatkan bantuan di masjid.

Hampir keseluruhan permohonan bantuan-bantuan ini dijana melalui online dan sebahagiannya disalurkan melalui masjid yang menjadi one stop centre bagi masyarakat Muslim di Pulau Pinang. Kira -kira 20,000 penerima menerima bantuan fasa 1 ini.

ZPP berpandangan untuk terus komited menangani wabak Covid-19 ini dengan memperhebatkan lagi bantuan kecemasan melalui Pakej Bantuan Khas Covid-19 ZPP Fasa-2.

Bantuan fasa ke-2 bertujuan membantu pihak-pihak berkepentingan ke atas rakyat di Pulau Pinang seperti Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan merancang pengawalan kesan ekonomi dalam bentuk jaminan sosioekonomi khususnya kepada masyarakat Muslim.

Sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan melalui agihan dana zakat kepada golongan sasar seperti pekerja yang bergaji harian terutama dalam bidang industri (tidak bekerja sepanjang PKP), pemandu e-hailing, pemandu teksi dan guru-guru agama dan tahfiz yang terjejas pendapatan isi rumah.

Di samping itu juga, ZPP turut menyediakan keperluan pasukan barisan hadapan di Pulau Pinang.

Sumbangan diberikan dalam bentuk Pakaian Perlindungan Diri (PPE) yang terdiri daripada sut perlindungan, gaun plastik, pelindung kepala dan kasut pelindung yang berjumlah RM20,000 kepada pasukan petugas kesihatan.

Menariknya sut PPE ini dijahit oleh asnaf-asnaf yang terlibat dengan program Keusahawanan Gerak Jahitan Asnaf yang dibiayai sepenuhnya oleh ZPP.

Bantuan Nur Ramadan

Dr Wafdi Auni Mohamed
Dr Wafdi Auni Mohamed

Berbaki tempoh PKP ini, masyarakat Muslim menyambut bulan Ramadan dalam suasana krisis Covid-19 yang belum berakhir. Menyedari keadaan ini, ZPP juga responsif dalam menyantuni golongan asnaf untuk mengharungi situasi getir.

Peruntukan sebanyak RM5.9 juta diagihkan melalui bantuan Nur Ramadan kepada golongan fakir dan miskin yang dianggarkan hampir 8,000 orang.

Di samping itu, ZPP menyediakan bantuan saguhati raya untuk menyambut Syawal yang bakal menjelang dengan peruntukan sebanyak RM4 juta.

Pakej Bantuan Khas Covid-19 ZPP ini didorong oleh tiga objektif untuk mencapai keseimbangan dan keadilan bagi merealisasikan pakej bantuan yang diagihkan menepati maqasid al-syaria, iaitu:

1. Melindungi masyarakat Muslim

2. Menyokong jaminan ekonomi isi rumah

3. Mengukuhkan jaminan sosioekonomi ummah.

Zakat sangat erat kaitannya dengan maqasid al-syariah dan kesejahteraan masyarakat di mana ia sebagai satu bentuk jaminan keselamatan sosial bagi mereka yang miskin dan memerlukannya, membangunkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan adil dalam masyarakat serta jambatan keharmonian yang menghubung sesama Muslim melalui ukhuwah keimanan.

Ketiga-tiga objektif ini direalisasikan melalui lima pendekatan Bantuan Khas Covid-19 ZPP di Pulau Pinang.

1. Pendekatan bantuan yang pantas

Pengagihan dana zakat mestilah sepantas kesan yang ditinggalkan oleh Covid-19. Justeru, hampir keseluruhan permohonan bantuan ekonomi dan kebajikan ZPP dijana melalui platform digital dan sebahagiannya disalurkan melalui pihak kariah masjid bagi urusan agihan bantuan zakat dengan kadar yang segera.

Dengan keadaan yang sangat terbatas akibat langkah pembendungan dan migitasi daripada kerajaan, teknologi telah membantu mengatasi halangan ini dan mengubah sistem agihan secara digital. Kesiapsiagaan dari segi teknologi dan perkhidmatan digital untuk memudahkan urusan bantuan diagihkan merupakan strategi pendigitalan zakat dalam Pelan Tidakan Strategik ZPP 2020.

2. Pendekatan bantuan yang berkesan

Keberkesanan bermaksud setiap dana yang diagihkan patut membawa kepada suatu peningkatan jaminan kelangsungan hidup yang berterusan. Justeru, terdapat lima bantuan sara hidup segera dilancarkan.

3. Pendekatan bantuan yang adil

Rakyat Pulau Pinang terutama dalam lingkungan asnaf sedia ada dan prospek asnaf baru (kumpulan B40) adalah golongan yang menanggung kesan akibat Covid-19 ini. Keadilan bererti pengagihan dana zakat sampai ke sasaran terutama asnaf zakat dan golongan yang terjejas.

Atas faktor keadilan dan mengelak daripada bantuan tidak sampai ke sasaran, ZPP berganding bahu dengan Kerajaan Negeri, Jabatan Islam Pulau Pinang dan pihak kariah masjid bagi mengenal pasti, membuat trigulasi dan menentusahkan data penerima yang layak melalui data-data yang ada di setiap agensi yang bekerjasama.

4. Pendekatan bantuan menangani tuntutan jangka pendek

Semasa krisis berlaku, Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri menjangkakan peratusan yang besar berkaitan impak kehilangan sumber pendapatan terutama dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil. Sesuatu rangsangan perlu dilaksanakan dengan baik yang mengambil kira faktor kesenjangan (ketidakseimbangan) hidup. Jadi, sebahagian besar bantuan yang diberikan menfokus kepada golongan yang terjejas sumber pendapatan terutama dalam tempoh PKP.

5. Pendekatan bantuan menangani impak pasca krisis

Sekiranya tren kehilangan sumber pendapatan dalam sesuatu bidang berlaku dalam jangka tempoh yang panjang dan kritikal, pakej bantuan dihalakan ke arah penyediaan jati diri dan keutuhan agama serta kembali membina persekitaran ekonomi yang lebih mampan untuk keluarga dan masyarakat.

Bantuan Khas Covid-19 ZPP membolehkan golongan berkenaan membina semula atau kembali berdikari, bukan sahaja ketika penularan Covid-19, tetapi juga pasca pandemik ini.

Oleh itu, dalam konteks bantuan Covid-19 kepada penerimanya (asnaf), ZPP memastikan setiap pakej bantuan yang disediakan dinilai seiring dengan kehendak syarak yang menitikberatkan kemaslahatan dan keutamaan supaya dapat memenuhi setiap keperluan asnaf.

Platform digital untuk bayar zakat

Berdepan dengan fenomena luar biasa ini, ZPP akan sentiasa mengambil langkah proaktif secara konkrit dan komprehensif untuk meningkatkan keupayaan diri masyarakat Muslim di Pulau Pinang untuk berdepan dengan realiti baharu yang lebih mencabar.

ZPP sentiasa meletakkan amanah ummah satu tanggungjawab yang perlu dijaga dan hak asnaf yang perlu sentiasa dibela. Justeru, dalam kesibukan memastikan aspek agihan zakat terus dioptimumkan sepanjang krisis pandemik Covid-19 ini, ZPP juga terus memikirkan bagaimana untuk meningkatkan prestasi kutipan zakat semasa.

Keterbatasan para amil bergerak menyeru dakwah zakat dan menjalankan program kesedaran pembayaran zakat dalam tempoh PKP ini pasti merencatkan prestasi kutipan dana zakat semasa.

Namun, ZPP telah mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan kutipan zakat secara digital, dengan memaksimumkan pembayaran zakat secara atas talian. Peralihan kepada platform digital ini merangkumi semua pembayaran zakat termasuk zakat fitrah.

Cakna masyarakat terhadap zakat sebagai instrumen pengagihan dana bantuan yang efisien perlu dipertingkatkan lebih-lebih lagi selepas pasca krisis Covid-19.

Kesedaran bahawa zakat menjadi agen pengagihan semula sebagai polisi fiskal bersifat tauhid berasaskan lebihan daripada kekayaan mampu memotivasikan masyarakat untuk bekerja lebih kuat untuk mencipta kehidupan baharu yang lebih diredai.

Melalui dana zakat yang dikutip, ZPP dapat memimpin keseimbangan sosioekonomi dan menjamin keselamatan sosial masyarakat Muslim di Pulau Pinang yang agar lebih bertanggungjawab dan berkeyakinan mengharungi krisis dengan menepati kehendak agama.

Dr Wafdi Auni Mohamed

Pegawai Khas Kepada Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang