Hempas isteri ke lantai, suami dijel tiga hari
KUALA LUMPUR - Padah menghempas isteri ke lantai sehingga patah tangan, seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nurfarahain Roslan menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Muhammad Sadruddin Mohd Saidfudin, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya yang berusia 35 tahun dengan mengangkat mangsa dan menghempasnya ke lantai.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala 1, pada jam 9.15 malam, 29 April lalu.
Bapa kepada seorang anak itu didakwa di bawah Sesyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal mencadangkan agar tertuduh dijatuhi hukuman setimpal.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ernie Ahmad memohon agar Mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana tertuduh menyesal dan isterinya sudah memaafkan tindakan yang dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!