Tiga beradik ditahan positif dadah

Wanita berstatus ibu tunggal ditahan untuk siasatan namun dibebaskan dengan jaminan bersyarat.- Foto AADK
Wanita berstatus ibu tunggal ditahan untuk siasatan namun dibebaskan dengan jaminan bersyarat.- Foto AADK
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tiga beradik merupakan antara 15 individu ditahan kerana positif dadah dalam operasi dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Cegah di Flat Paya Nahu semalam.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, dua wanita terbabit berusia 24 dan 26 tahun berstatus ibu tunggal serta adik mereka berusia 22 tahun dikesan positif dadah jenis morfin dan methamphetamine.

Menurutnya, ketika serbuan, anggota penguat kuasa turut menemui kanak-kanak lelaki berumur 9 tahun yang juga adik suspek, selain anak kepada dua wanita terbabit iaitu kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan sembilan bulan.

"Hasil pemeriksaan turut mendapati terdapat seorang lelaki berusia 30 tahun dalam rumah sama yang dipercayai menjadikan lokasi terbabit sebagai 'port' penagihan dadah," katanya.

Rumah yang dipercayai dijadikan 'port' penagihan dadah diserbu.- Foto AADK
Rumah yang dipercayai dijadikan 'port' penagihan dadah diserbu.- Foto AADK

Menurutnya, kesemua 15 individu tersebut ditahan dalam operasi diketuai Irdawati Abdul Hamid itu membabitkan 11 lokasi panas membabitkan kawasan sekitar Kota Kuala Muda, Tikam Batu, Bedong, Sungai Petani, Tanjung Dawai dan Merbok bermula 9 pagi hingga 11.30 malam tadi.

Beliau berkata, seramai sembilan individu direman, manakala enam lagi termasuk dua ibu tunggal dibebaskan dengan jaminan bersyarat.

"Hasil saringan mendapati lapan orang positif dadah jenis methamphetamine dan morfin serta tujuh lagi positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Artikel Berkaitan:

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.