Covid-19: Petaling kembali jadi zon kuning

Menerusi info grafik dimuat naik STFC, dua daerah masih dikategorikan sebagai zon merah di Selangor iaitu Gombak dan Hulu Langat.
Menerusi info grafik dimuat naik STFC, dua daerah masih dikategorikan sebagai zon merah di Selangor iaitu Gombak dan Hulu Langat.
A
A
A

SHAH ALAM - Daerah Petaling yang sebelum ini berada di zon merah kembali bertukar kepada zon kuning apabila jumlah kes aktif positif koronavirus (Covid-19) menurun kepada 39 kes setakat jam 12 tengah hari semalam berbanding 43 kes kelmarin.

Menerusi info grafik dimuat naik Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di akaun Facebook rasminya, dua daerah yang masih dikategorikan sebagai zon merah adalah Gombak yang merekod 87 kes dan Hulu Langat yang mencatat 48 kes.

Menurut maklumat dikeluarkan STFC, mukim Batu masih menjadi satu-satunya mukim yang masih dikategorikan sebagai zon merah di Selangor manakala 25 mukim di Selangor kini berada di zon kuning dan 30 mukim lagi sudah ditakrif sebagai zon hijau berikutan tiada kes aktif Covid-19 direkodkan.

“Bagi kebanyakan mukim, bilangan kes kelihatan stabil tanpa perubahan begitu ketara. Namun pertambahan dua kes di mukim Hujung Permatang di daerah Kuala Selangor menjadikan status mukim ini berubah dari zon hijau kepada zon kuning.

“Kami harap anda (penduduk Selangor) semua maklum bahawa Selangor melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) di mana terdapat modifikasi untuk memberi ruang kepada struktur pelaksanaan yang tersusun dapat dibina terlebih dulu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berjalan dan orang ramai sentiasa tertakluk kepada teras Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu menjaga penjarakkan sosial dan kebersihan diri.

“Jangan leka dan jadikan ia sebagai amalan seharian baru anda,” menurut kenyataan yang dimuat naik.

Untuk rekod, Selangor merekod 11 kes baharu semalam menjadikan jumlah terkumpul kini sebanyak 1,529 kes.

Artikel Berkaitan:

Seramai 1,258 pesakit dilapor telah sembuh, namun 217 kes masih aktif.

Tiada kematian baharu dilaporkan di Selangor sejak 29 April lalu dan jumlah pesakit yang maut akibat dijangkiti Covid-19 kekal 18 orang di Selangor sehingga semalam.