Miti jawab kenapa lewat lulus harga model kenderaan baharu

Miti
Miti
A
A
A

KELEWATAN dalam meluluskan harga model kenderaan baharu adalah bertujuan memastikan insentif dapat diberikan dan diagihkan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Proses membuat keputusan itu, yang dilaksanakan Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif (ABDC), harus telus, adil dan menyeluruh, menurut kementerian tersebut dalam kenyataan hari ini.

MITI mengulas berita yang melaporkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menempelak kerajaan berikutan ketidakmampuan membuat keputusan berhubung insentif cukai bagi kenderaan pemasangan tempatan yang layak, sekali gus menyebabkan kelewatan dalam meluluskan harga model kenderaan baharu.

ABDC, yang dibentuk pada 2006, dianggotai wakil MITI; Kementerian Kewangan (MoF); Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia; Institut Automotif, Robotik dan IOT Malaysia serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

ia ditubuhkan bertujuan memudahkan proses membuat keputusan kolektif dalam menentukan kuantum insentif untuk diperluaskan kepada syarikat kenderaan.

MITI berkata semasa pentadbiran sebelum ini, beberapa syarikat kenderaan memperoleh insentif secara langsung daripada MoF, tanpa melalui ABDC.

“Banyak permohonan telah dilulusklan tanpa penilaian menyeluruh untuk menentukan pulangan ke atas pelaburan kepada kerajaan,” menurut MITI.

Menurut kementerian itu juga, ia sentiasa berusaha memastikan dana awam dan wang pembayar cukai digunakan secara optimum demi manfaat rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Sehubungan itu, MITI mempelawa MAA dan peserta industri untuk mendapatkan perundingan selanjutnya mengenai isu ini dan menangani keluhan terbabit secara kolektif dalam usaha memacu pertumbuhan industri automotif,” menurut kementerian. - Bernama