Polis disaran baca al-Quran setiap hari

Hasanuddin (kiri) melihat al-Quran yang diwakafkan oleh orang ramai melalui WUIF dan KMK yang disampaikan oleh Muhammad Nasir.
Hasanuddin (kiri) melihat al-Quran yang diwakafkan oleh orang ramai melalui WUIF dan KMK yang disampaikan oleh Muhammad Nasir.
A
A
A

KOTA BHARU - Anggota PDRM yang beragama Islam disaran sentiasa membaca al-Quran setiap hari terutama ketika berdepan situasi getir sebagai petugas barisan ketika pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, amalan membaca al-Quran dan memahami maksudnya akan menguatkan rohani.

“Ketika penugasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada menangkap penjenayah, mengawal keamanan dan memastikan pematuhan PKP, al-Quran tetap perlu dibaca.

“Kita boleh meluangkan masa di rumah bersama keluarga dengan mengaji al-Quran walaupun satu muka sehari sudah memadai untuk memberi kekuatan dalaman supaya kekal bersemangat menjalankan tanggungjawab kepada negara dengan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis ringkas serahan 1,000 naskah al-Quran oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Karangkraf di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Serahan disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Hasanuddin berkata, kitab suci tersebut akan diagihkan ke 10 jabatan di IPK, surau, balai polis untuk dimanfaatkan oleh anggota PDRM negeri ini.

Sementara itu, Muhammad Nasir berkata, sesuai bulan mulia Kumpulan Karangkraf dan WUIF melancarkan tabung sumbangan bagi membolehkan orang ramai mewakafkan al-Quran khas untuk petugas barisan hadapan termasuk kesihatan dan keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Majlis ringkas serahan al-Quran kepada PDRM Kelantan dan mereka turut menyatakan sokongan kepada program Wakaf al-Quran yang dicetuskan oleh WUIF dan KMK itu.
Majlis ringkas serahan al-Quran kepada PDRM Kelantan dan mereka turut menyatakan sokongan kepada program Wakaf al-Quran yang dicetuskan oleh WUIF dan KMK itu.

“Sambutan dana yang disalurkan amat menggalakkan dan kami menerima wakaf sebanyak 40,000 naskhah pada fasa pertama dan 40,000 lagi pada fasa kedua untuk diedarkan kepada petugas barisan di seluruh negara.

“Sebanyak 1,000 naskhah di setiap negeri dan esok al-Quran akan diagihkan ke Terengganu sebelum ke negeri lain,” katanya.

Selainnya, beliau turut mengajak orang ramai mengikuti program bacaan al-Quran secara serentak World Quran Hour yang akan bersiaran secara langsung di saluran TV Al-Hijrah pada jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari pada 13 Mei bersamaan 22 Ramadan ini.

“Pada tahun-tahun lalu, World Quran Hour diadakan secara besar-besaran membabitkan ribuan peserta di masjid namun tetapi kali ini berbeza kerana perlu mematuhi PKP dan bacaan dilakukan di rumah atau tempat masing-masing.

“Bacaan al-Quran setiap hari pada jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari juga diadakan di saluran TV Al-Hijrah dan Facebook Sinar Harian,” katanya.