UK jalankan rawatan guna plasma darah

Keputusan ujian rawatan menggunakan plasma darah pesakit pulih akan menentukan sama ada kaedah itu boleh digunakan secara meluas atau tidak. - FOTO: AGENSI
Keputusan ujian rawatan menggunakan plasma darah pesakit pulih akan menentukan sama ada kaedah itu boleh digunakan secara meluas atau tidak. - FOTO: AGENSI
A
A
A

LONDON - United Kingdom (UK) telah mula melakukan rawatan menggunakan plasma darah daripada pesakit koronavirus (Covid-19) yang telah sembuh.

Ujian prosedur digelar plasma pemulihan itu yang dijalankan di Guy's and St Thomas Hospital di London dan rawatan itu didakwa dapat membantu pesakit untuk menghasilkan antibodi mencukupi bagi mencegah wabak tersebut.

Perunding di Jabatan Rawatan Intensif, Dr Manu Shankar-Hari berkata, ujian itu dapat membantu mereka untuk memahami sama ada rawatan seumpama itu dapat digunakan secara meluas untuk merawat Covid-19.

Difahamkan, darah yang diambil daripada salah satu tangan penderma itu disalurkan pada sebuah mesin yang akan mengasingkan plasma tersebut dan proses tersebut mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mendapatkan dua unit plasma.

Sementara itu, penyelidik di Nottingham University dilaporkan sedang menghasilkan vaksin virus itu dengan mengubah suai terapi barah sedia ada.

Ujian untuk vaksin itu dijangka pada musim luruh akan datang dan fokus utamanya adalah untuk merangsang komponen sistem imun digelar sel T yang didakwa sebagai kunci untuk imuniti bagi tempoh jangka panjang. - Agensi

Artikel Berkaitan: