Pekerja pemacu produktiviti negara

A
A
A

SAMBUTAN Hari Pekerja tahun ini berbeza pada tahun-tahun sebelumnya. Rata-rata pekerja duduk di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala wira dan wirawati negara - frontliners terus tabah, komited dan sabar berperang dengan Covid-19. Pekerja, walau di mana dan apa keadaan masih menjadi penyumbang utama kepada modal insan dan pembangunan negara.

Pertumbuhan modal insan pula mampu dicapai dengan peningkatan pengetahuan dan kepakaran pekerja melalui proses pendidikan dan latihan, baik secara formal atau tidak formal. Dalam hal in, pekerja perlu lebih memahirkan diri dengan pendekatan on-line dan pendigitalan sebagai budaya kerja. Bekerja secara jarak jauh, menggunakan internet masa kini menjadi satu keperluan. Wabak Covid-19 dan PKP serta normal baharu telah merubah paradigma dan cara kita berkerja, berkarya, berniaga dan berurusan.

Perutusan Khas Hari Pekerja tahun 2020 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyimpulkan bahawa pendekatan yang digunakan bagi menangani wabak Covid-19 telah pun membuahkan hasilnya. Bermula dengan pendekatan pertama iaitu ketegasan atau resolve dalam tindakan mengawal penularan wabak Covid-19 dengan melaksanakan PKP. Disusuli dengan pendekatan kedua iaitu membina ketahanan atau resilience melalui pakej rangsangan ekonomi Prihatin untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi.

Pada asasnya walau apa keadaan kita mestilah mengutamakan produktiviti dan keberhasilan. Wabak Covid-19 bukan alasan untuk kita berdiam diri dan melupakan tugas dan peranan hakiki bagi menghasilkan produktiviti. Cuma pendekatannya perlu diolah dan disesuaikan dengan normal baharu yang akan menjadi amalan masa kini dan mendatang.

Sesiapa pun kita, sama ada berkerja kerajaan, sendiri, usahawan atau berkerja sendiri perlu lebih kreatif, inovatif dan melakukan tugas di luar kebiasaan. Rata-rata masih bekerja walaupun di rumah secara atas talian. Guru, pensyarah dan ahli akademik lainnya misalnya masih mengajar dan memberi tugasan pada pelajar melalui pendekatan online dan video-conferencing.

Jika tempoh PKP diteruskan, ini adalah normal baharu yang akan dilaksanakan kerana sekolah dan pusat pengajian perlu ditutup. Bekerja dari rumah penuh dengan cabaran dan rintangan. Namun ini adalah pengorbanan yang besar dalam menyumbang produktiviti pada negara.

Terkesan

Setelah hampir dua bulan menjalani PKP, ramai pekerja yang terkesan dan hilang mata pencarian. Peniaga dan pengusaha industri tidak boleh beroperasi. Ramai antara kita yang tidak sabar untuk kembali bekerja. Bagi peniaga, nak membuka semula perniagaan. Bagi pengusaha industri, nak meneruskan perusahaan masing-masing. Ini kerana pekerjaan dan perniagaan adalah sumber pendapatan dan mata pencarian. Kalau terlalu lama berada dalam PKP, maka terputuslah mata pencarian dan ini memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan masing- masing.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga bagi negara kita. Terhenti aktiviti ekonomi bermakna terhentilah sumber pendapatan negara dan cukai tidak boleh dikutip. Ini membantutkan industri untuk berkembang, pertumbuhan ekonomi terencat dan kemungkinan lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup dan ramai pekerja kehilangan pekerjaan. Untuk rekod, jumlah kerugian akibat Covid-19 dianggarkan sekitar RM63 bilion. Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.

Menyedari hakikat ini, pendekatan ketiga diperkenalkan iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB bermula dari 4 Mei 2020. PKPB ini diharap dapat merancakkan kembali sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial yang telah dilesukan sepanjang tempoh PKP. Pekerja mula diberikan ruang untuk bertugas mengikut normal baharu. Bekerja secara bergilir di rumah dan di pejabat atau tempat bertugas. Masih lagi mengamalkan jarak sosial dan perlu mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Dalam hal ini, persoalan kesihatan dan keselamatan pekerja jangan sesekali dikesampingkan. Pihak NIOSH diharap dapat membantu para majikan dalam mengadaptasikan SOP tersebut secara optimum, agar pekerja dan majikan tidak terbeban dengan normal baharu.

Kita berdoa agar pendekatan ketiga ini berjaya mencapai matlamatnya. Kita juga mengimpikan supaya pengorbanan dan kesabaran rakyat yang 'setia' duduk di rumah yang telah dapat memutuskan rantaian wabak Covid-19. Kita juga mengharap agar pekerja mengutamakan produktiviti dan terus menyuntik pembangunan negara tercinta.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara