Perlu dukung kebebasan media

A
A
A

Baru-baru ini, badan antarabangsa Reporters Without Borders (RSF) telah mengeluarkan Indeks Kebebasan Media Dunia bagi tahun 2020. Malaysia telah mendaki 22 anak tangga dalam indeks tahunan Kebebasan Media Dunia 2020 untuk menduduki tempat ke-101 daripada 180 negara.

Skor Malaysia turun sebanyak 3.62 mata kepada 33.12 pada 2020, dan skor lebih rendah menunjukkan lebih kebebasan media.

Sejak perubahan kerajaan pada 09 Mei 2018, Malaysia mencatat peningkatan mendadak dalam indeks tersebut. Untuk tahun 2019, Malaysia naik 22 anak tangga, daripada 145 pada tahun 2018 ke 123 pada tahun seterusnya. Sebagai bandingan, sebelum ini Malaysia mencatatkan penurunan bagi indeks tahun 2018, daripada tangga 144 ke 145. Prestasi cemerlang Malaysia untuk tahun 2020 banyak mengambilkira kebebasan media untuk tahun 2019.

Menurut RSF lagi kebebasan media Malaysia mendapat 'nafas baharu' selepas kekalahan mengejut buat pertama kalinya gabungan parti pemerintah pimpinan Datuk Seri Najib Razak dalam Pilihan Raya Umum pada Mei 2018. Sepanjang sejarah negara, kita pernah menyaksikan sebelum ini bagaimana wartawan ditahan dan dipenjarakan, lesen penerbitan digantung atau ditarik balik dan pelbagai lagi tindakan eksekutif terhadap media.

Pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 21-22 bulan sebelum diambil alih oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sememangnya menampakkan kebebasan media yang lebih luas berbanding sebelumnya. Malahan, terdapat rungutan daripada dalam PH sendiri sebelum ini bahawa media ‘terlalu bebas’, sehingga menjadi ‘masalah’ buat kerajaan pada ketika itu.

Kebebasan media merupakan salah satu tunggak penting kepada demokrasi. Demokrasi akan tempang dan lumpuh tanpa media yang bebas daripada kekangan. Media yang bebas akan melaporkan kebenaran yang berlaku dalam masyarakat, mendedahkan kezaliman dan kebobrokan di dalam sesebuah negara serta menyediakan wahana untuk perdebatan dan percambahan idea. Oleh sebab itu, media disebut sebagai ‘Estet Keempat’ atau dalam bahasa Inggeris, The Fourth Estate, dalam sesebuah negara.

Media yang bebas akan sentiasa menimbulkan masalah dan tidak disenangi oleh pemerintah. Itu tanggungjawab dan tugas pengamal media dalam sebuah negara demokrasi. Tidak dinafikan, media harus beretika dalam membuat liputan. Tetapi pihak yang perlu dipertanggungjawabkan untuk memastikan perkara ini berlaku mestilah pihak media sendiri, melalui mekanisme yang bebas daripada pengaruh pihak kerajaan.

Kerajaan PH sebelum ini telah membentuk Jawatankuasa protem bagi membincangkan hal berkaitan penubuhan Majlis Media Malaysia. Mengikut perancangan asal, Majlis Media Malaysia ini akan dibentuk pada Disember 2020. Jawatankuasa pro-tem itu diberi dua bulan untuk membincang dan meneliti penyediaan Rang Undang-undang (RUU) bagi penubuhan serta fungsi-fungsi Majlis Media ini. Di samping itu, kerajaan PH juga sempat memansuhkan salah satu daripada undang-undang yang mengekang kebebasan media, iaitu Akta Berita Tidak Benar. Tetapi, terdapat banyak lagi undang-undang yang bertentangan dengan kebebasan media.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, belum jelas lagi apakah perancangan kerajaan PN berkenaan dengan rancangan menubuhkan Majlis Media ini. Walau apapun perancangan kerajaan PN berkenaan dengan kebebasan media, diharapkan bahawa akan ada kesinambungan daripada kebebasan ketika Kerajaan PH dahulu. Undang-undang yang menyekat kebebasan media harus dimansuhkan atau dipinda, walaupun kerajaan ini tidak mempunyai manifesto yang menjanjikannya. Kita tidak mahu peningkatan kebebasan media di Malaysia terbantut, atau menjadi lebih buruk hanya kerana terdapatnya perubahan kerajaan.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur