Kumpulan 61-70 tahun rekod kematian tertinggi

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.-Foto Bernama
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.-Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kumpulan umur yang mempunyai bilangan kematian wabak koronavirus (Covid-19) tertinggi di Malaysia adalah antara 61 hingga 70 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu diperoleh melalui hasil kajian kematian ke atas 99 daripada 105 kes kematian yang telah dilaporkan setakat ini.

"Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, golongan warga emas didapati agak terjejas dengan wabak Covid-19 di mana terdapat banyak kes jangkitan dan kematian berkaitan wabak itu dalam kalangan kumpulan umur 60 tahun ke atas.

"Warga emas ialah kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan Covid-19 kerana faktor umur dan juga penyakit kronik.

"Ini merupakan satu isu global yang dihadapi oleh negara-negara yang terjejas dengan wabak ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, kumpulan umur kedua tertinggi yang mencatatkan kematian pula adalah antara 71 sehingga 80 tahun.

"Walaupun kita belum memahami sepenuhnya jangkitan Covid-19, apa yang jelas ialah risiko jangkitan meningkat mengikut usia dan

individu yang mempunyai penyakit kronik atau penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, penyakit buah pinggang dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Golongan-golongan yang disebut tadi adalah lebih berisiko untuk mendapat gejala jangkitan Covid-19 yang lebih teruk dan risiko kematian yang lebih tinggi," katanya.