Dua lelaki mabuk ditahan langgar sekatan jalan raya

Polis menahan dua lelaki dipercayai mabuk yang memandu Proton Wira di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala Ampang awal pagi tadi.
Polis menahan dua lelaki dipercayai mabuk yang memandu Proton Wira di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala Ampang awal pagi tadi.
A
A
A

AMPANG - Dua lelaki dipercayai mabuk merempuh sekatan jalan raya di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala Ampang, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, dalam kejadian pada jam 4.30 pagi itu, kedua-duanya berusia 29 dan 33 tahun yang menaiki Proton Wira itu diarahkan berhenti namun gagal berbuat demikian sehingga mengakibatkan kejadian berkenaan.

"Kereta terbabit telah melanggar dua unit penghadang di bahagian tepi sekatan jalan raya.

"Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan suspek dan anggota yang bertugas di kawasan sekatan jalan raya itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek gagal memberikan alasan munasabah mengenai pergerakannya dan hanya memberitahu ingin pulang ke rumahnya di Taman Kajang Utama.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tiga hari sehingga 5 Mei ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 26(2) Akta Polis 1967," katanya.

Dalam masa sama, Noor Azmi menasihati orang awam sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis dan mematuhi pelaksanaan PKP.

Artikel Berkaitan: