Tiga termasuk warga emas ditahan curi kambing

Rakaman CCTV yang menunjukkan perbuatan suspek menyumbat kambing ke dalam but kereta.
Rakaman CCTV yang menunjukkan perbuatan suspek menyumbat kambing ke dalam but kereta.
A
A
A

KEPALA BATAS - Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dengan kes kehilangan lapan ekor kambing di sebuah kampung di Tasek Gelugor di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kehilangan kambing itu disedari pemiliknya kira-kira jam 9 malam selepas mendapati pagar rumah dan pagar kandang kambing dalam keadaan terbuka.

Menurutnya, pemilik kambing berusia 23 tahun itu kemudiannya membuat pemeriksaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat beberapa lelaki yang mencuri kambingnya dan menyumbat haiwan itu ke dalam but kereta.

"Bertindak atas laporan yang dibuat pemilik kambing berkenaan, polis berjaya mengesan ketiga-tiga suspek yang terlibat dengan kes berkenaan sedang melepak di sekitar Tasek Gelugor di sini petang tadi.

"Hasil soal siasat terhadap suspek, mereka mengakui terlibat dengan kes kehilangan kambing berkenaan dan telah menjual haiwan itu di sebuah pasar di Sungai Petani manakala kereta Toyota Vios yang digunakan untuk mencuri telah ditinggalkan di sebuah kampung di Baling," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Noorzainy berkata, semakan yang dibuat mendapati kesemua suspek yang berusia 25 hingga 62 tahun mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Katanya, mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU dan akan direman untuk siasatan lanjut.

"Selain akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, kesemua suspek juga akan disiasat Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020) kerana ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Artikel Berkaitan: