Covid-19: Kadar kebolehjangkitan dalam komuniti masih terkawal

Kadar kebolehjangkitan wabak Covid-19 dalam komuniti di Malaysia masih lagi terkawal. - Foto Bernama
Kadar kebolehjangkitan wabak Covid-19 dalam komuniti di Malaysia masih lagi terkawal. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kadar kebolehjangkitan wabak koronavirus (Covid-19) dalam komuniti di Malaysia masih lagi terkawal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana kadar kebolehjangkitan yang dicatatkan ketika ini di bawah satu peratus.

"Kalau kita lihat sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) satu, dua dan tiga, kadar kebolehjangkitan kita adalah 3.55 dan pada 14 April ia telah berkurang daripada satu peratus iaitu mungkin dalam 0.7 peratus.

"Apabila kita melihat kepada tindakan kita sekarang iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jadi kita jangka kadar kebolehjangkitan masih kurang daripada satu.

"Itulah model yang kita laksanakan, jadi kalau selagi kadar kebolehjangkitan kurang daripada satu, kita boleh kawal wabak dalam komuniti," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat unjuran kadar kebolehjangkitan Covid-19 susulan semua sektor ekonomi akan beroperasi sepenuhnya Isnin ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, KKM juga akan memperincikan kes setiap hari bagi memastikan kadar kebolehjangkitan terus terkawal.

"Setiap hari kita akan melihat dari semua segi dan akan memaklumkan dari segi kadar kebolehjangkitan," katanya.

Artikel Berkaitan: