Kerajaan mulakan ekonomi berdasarkan tanda aras WHO, pakar China

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan membuat keputusan membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi bermula Isnin ini berdasarkan tanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menteri Kanan serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, WHO menggariskan enam kriteria utama iaitu kawalan keselamatan, kawalan pergerakan, kemampuan sistem kesihatan, kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi, mengamalkan kebiasaan baharu dan kemampuan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti bagi membenarkan aktiviti ekonomi dimulakan.

Menurutnya, selain itu, sekumpulan pakar perubatan dari Republik Rakyat China yang terlibat dalam penyelidikan dan pengurusan pandemik koronavirus (Covid-19) yang tiba dua minggu lalu telah memberikan pendapat pakar dan berpandangan bahawa Malaysia bersedia memulakan aktiviti ekonomi.

"Kerajaan membuat keputusan ini dengan penuh teliti, berhati-hati dan bertanggungjawab. Kerajaan telah memberi pertimbangan yang terperinci berdasarkan kepada data dan kajian yang dibentangkan berkaitan dengan situasi kesihatan serta kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara.

"Kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah pembukaan ekonomi secara berperingkat mulai 18 Mac hingga 28 April di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 1 hingga 3 dengan pematuhan syarat-syarat kesihatan di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP). Tindakan yang teliti dan berhati-hati ini telah menunjukkan hasil yang baik khususnya dalam aspek penambahan sektor ekonomi yang dibuka dan pada masa yang sama, tidak menjejaskan usaha kerajaan dalam membendung penularan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Mohamed Azmin lagi, sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah ini, dibimbangi sumber pendapatan negara akan terus menyusut sekali gus menyebabkan pertumbuhan ekonomi terencat dan pendapatan perniagaan serta individu terjejas.

"Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menegaskan bahawa sekiranya PKP diteruskan untuk sebulan lagi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan mencatatkan kerugian sebanyak RM35 bilion dan akan menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion. Penyusutan nilai eksport bagi sektor pembuatan sahaja adalah dianggarkan sebanyak RM32 bilion bagi setiap dua minggu PKP beroperasi," katanya.

Bagaimanapun Mohamed Azmin menegaskan, semua sektor yang dibenarkan beroperasi Isnin ini wajib mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Kegagalan mematuhi SOP adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil ke atas syarikat dan firma berkenaan. Perlu ditegaskan bahawa kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekiranya terdapat kenaikan mendadak kes-kes baru di mana-mana kawasan," katanya.