Polis akan putuskan keperluan sekatan jalan raya sepanjang PKPB

Sekatan jalan raya yang dijalankan susulan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu.
Sekatan jalan raya yang dijalankan susulan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Polis akan memutuskan sama ada pelaksanaan sekatan jalan raya yang dijalankan di seluruh negara akan dikurangkan atau sebaliknya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan bermula 4 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, meskipun PKPB menyaksikan beberapa kelonggaran diberikan kepada rakyat, namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih tetap dijalankan seperti biasa mengikuti Akta 342.

Bagaimanapun, beliau percaya polis akan terus memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB dengan pergerakan perjalanan rakyat pada saat itu mungkin sudah dilonggarkan.

"Memandangkan sesiapa pun sudah boleh keluar rumah untuk menjalani urusan seharian, sekarang saya fikir polis akan lebih tertumpu kepada pemantauan SOP PKPB berbanding pemantauan pergerakan rakyat sebelum ini.

"Soal sama ada sekatan jalan raya akan dikurangkan atau tidak, itu akan ditentukan polis.

"Saya juga difahamkan anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) akan digerakkan bagi memastikan mereka membantu rakyat mematuhi SOP PKPB ditetapkan," katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan mengingkari PKP mengikut Akta 342 tidak akan direkodkan sebagai satu kesalahan jenayah.

Menurutnya, kesalahan individu yang mengingkari PKP bukan dianggap jenayah biasa yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menegaskan persediaan kerajaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan penularan semula pandemik koronavirus (Covid-19) adalah sangat tinggi.

Menurutnya, kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah memastikan segala aspek persediaan menangani Covid-19 diberi keutamaan seperti peralatan kesihatan adalah mencukupi.

"Lagipun jumlah pesakit sembuh Covid-19 adalah lebih banyak daripada jumlah kes baharu, bahkan jumlah pesakit yang berada di hospital adalah kurang daripada dijangkakan.

"Kita sudah bersedia dari semua aspek dengan kapasiti makmal perubatan kita sudah mampu menjalani ujian swab kepada melebihi sasaran 16,000 orang.

"Kita sudah bersedia menghadapi apa sahaja berkaitan Covid-19 ketika ini," katanya.