Pukul sampai mati sebab curi syabu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki ditemui mati dalam semak berhampiran sebuah pasar raya Kampung Jawa, di sini semalam.

Mayat mangsa yang hampir reput dan lengkap berpakaian ditemui di dalam sebuah troli yang mengandungi beg, kain, kayu serta kotak.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mangsa merupakan warga tempatan dan hasil siasatan, polis berjaya menangkap suspek yang terlibat dalam kes ini.

"Suspek yang merupakan rakan serumah mangsa mengakui terlibat dalam kejadian itu.

"Suspek mengaku telah memukul mangsa dengan objek keras di dalam bilik utama rumah disewa mereka kerana mangsa telah mencuri syabu miliknya," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, selepas kejadian itu, suspek bertindak membiarkan mangsa di dalam rumah itu lebih kurang tiga hari sebelum bertindak meletakkan mangsa ke dalam troli dan menolak ke lokasi lebih kurang 160 meter dari rumah mereka.

Menurutnya, suspek dipercayai telah membuat persediaan untuk melupuskan mayat mangsa.

"Suspek dipercayai mahu membakar mayat mangsa namun gagal kerana cuaca hujan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semakan rekod terhadap suspek mendapati dia mempunyai 10 rekod lampau kesalahan dadah dan jenayah.

"Suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, boleh menghubungi Asisten Superintendan Chua Cheong Kheow (Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Shah Alam) di talian 0194217868 bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.