Covid-19: Majikan, pekerja dinasihat mempraktikkan normal baharu

Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media mengenai perkembangan semasa wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media mengenai perkembangan semasa wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Susulan sektor ekonomi dibuka semula Isnin ini majikan dan pekerja dinasihatkan mempraktikkan norma baharu dalam kehidupan serta cara kerja bagi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dapat terus dibendung.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu penting bagi memastikan usaha yang dijalankan selama ini terus berkesan.

"Penduduk Malaysia dinasihatkan kekal duduk di rumah dan hanya keluar rumah untuk urusan perlu sahaja," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penekanan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Amalkan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman dan melakukan saringan kesihatan di pintu masuk premis.

"Individu yang tidak sihat dan bergejala perlu segera menjalani pemeriksaan kesihatan dan melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan sekiranya mempunyai maklumat jangkitan Covid-19.

Sempena Hari Pekerja yang disambut hari ini, Dr Noor Hisham berkata, pandemik Covid-19 ini menyaksikan penyatuan rakyat pelbagai sektor dan agensi.

"KKM turut menghargai semua petugas daripada pelbagai agensi yang bertungkus-lumus secara langsung atau tidak dalam membantu kementerian ini menangani penularan Covid-19 di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Sesungguhnya kesihatan adalah tanggungjawab bersama," katanya.