Ingkar PKP: Lima lelaki solat tarawih berjemaah di surau ditahan

Anggota polis sedang menyoal siasat lelaki yang didapati menunaikan solat sunat tarawih di sebuah surau di Kijal, Chukai, di sini malam semalam. - Foto Ihsan IPD Kemaman
Anggota polis sedang menyoal siasat lelaki yang didapati menunaikan solat sunat tarawih di sebuah surau di Kijal, Chukai, di sini malam semalam. - Foto Ihsan IPD Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - Polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga emas yang menunaikan solat tarawih berjemaah di surau di Kijal, Chukai di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kesemua yang berusia 38 hingga 67 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis yang melakukan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Ops Covid-19 kira-kira jam 9 malam.

"Tangkapan dibuat susulan maklumat awam memaklumkan terdapat aktiviti solat sunat tarawih di surau berkenaan sebelum bergegas ke lokasi dimaksudkan.

"Sebaik tiba, kita dapati terdapat lima lelaki yang sedang menunaikan solat sunat tarawih di surau berkenaan.

"Anggota kemudian memperkenalkan diri sebelum memaklumkan kesalahan yang dilakukan kerana berhimpun sebelum mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, soal siasat terhadap semua mendapati mereka mengetahui pelaksanaan PKP dan menyedari tindakan itu salah di sisi undang-undang kerana sengaja berhimpun.

"Mereka semua tahu larangan itu masih berkuat kuasa, namun tetap pergi solat berjemaah dan berkumpul di surau dengan alasan kampung mereka masih zon hijau dan tidak ada yang positif koronavirus (Covid-19).

"Kes disiasat mengikut Peraturan 6(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit," katanya.

Artikel Berkaitan: