MAIPs agih RM3.88 juta bantuan fitrah

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Zakat Fitrah MAIPs di Galeri DiRaja Arau.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Zakat Fitrah MAIPs di Galeri DiRaja Arau.
A
A
A

ARAU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengagihkan bantuan fitrah sebanyak RM3.88 juta kepada golongan asnaf di seluruh Perlis tahun ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, seramai 9,700 penerima bantuan dikenal pasti oleh Jawatankuasa Kariah Masjid di seluruh negeri ini dengan kerjasama amil kariah yang dilantik MAIPs.

Baginda merangkap Yang Dipertua MAIPs berharap sumbangan tersebut dimanfaatkan sebaiknya oleh penerima terpilih untuk digunakan sepanjang Ramadan khususnya dalam suasana normal baharu ini.

"Warga asnaf disarankan membuat perancangan hala tuju masing-masing sebagai persediaan menghadapi kehidupan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pasca penularan wabak Covid-19 bermula dari sekarang," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut mengalu-alukan semua pihak untuk tampil memberikan idea membantu asnaf selepas lama 'berehat' di rumah susulan PKP.

Terdahulu, baginda berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Zakat Fitrah MAIPs di Galeri DiRaja Arau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, MAIPs memberi penekanan ketat bagi meminimumkan kontak rapat apabila ahli jawatankuasa kariah masjid seluruh negeri melaksanakan agihan bantuan zakat fitrah melalui kaedah ziarah.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKP, MAIPs telah mengagihkan peruntukan sebanyak RM4.7 juta merangkumi 10 inisiatif antaranya agihan kaunter terhad, ziarah dakwah bil hal, bantuan khas rangsangan asnaf Covid-19, agihan melalui kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) serta bantuan khas kecemasan masjid MAIPs.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, MAIPs turut mengadakan lawatan ke rumah-rumah terjejas ekoran ribut yang melanda Perlis.

"Sebanyak 56 buah rumah dilaporkan setakat ini. MAIPs akan segera membuat penyelarasan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis bagi menyemak penyaluran bantuan khususnya membaik pulih rumah sebelum tindakan sewajarnya diambil," katanya.