'Kalau hendak mati, di rumah pun boleh mati'

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit 9 Pasir Panjang, semalam.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit 9 Pasir Panjang, semalam.
A
A
A

SEKINCHAN - "Mama, kalau hendak mati di rumah pun boleh mati, kalau Zaim tak kerja siapa nak hantar makanan kepada pelanggan," demikian kata Allahyarham Muhammad Zaim Azman, 21, yang maut dalam kemalangan di Persiaran Hamzah Alang, menghala ke Meru semalam.

Ibunya, Mastura saman, 52, berkata, kata-kata itu diungkap Muhammad Zaim ketika dia meminta anaknya berhenti bekerja sebagai penghantar makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun katanya, sejak itu dia tidak lagi memaksa Muhammad Zaim sebaliknya mendoakan anaknya itu berhati-hati ketika menunggang motosikal.

"Saya nekad apa pun yang terjadi saya berserah kepada ALLAH, apatah lagi arwah pergi pada bulan Ramadan dan yakin dia mati syahid kerana bertugas mencari rezeki," katanya kepada Sinar Harian.

Mastura berkata, perasaannya sebak apabila tidak dapat menemui arwah anaknya itu sepanjang Ramadan kali ini kerana berada di rumah seorang lagi anaknya di Setia Alam berikutan terkandas disebabkan penguatkuasaan PKP pada 18 Mac lalu.

"Kebetulan sebelum PKP, saya sempat menziarahi menantu bersalin dan sejak itu saya tidak dapat pulang ke rumah dan menemui arwah," katanya yang menetap di Desa Mawar Tanjong Karang.

Menurut Mastura, dia bercadang berjumpa Muhammad Zaim pagi sebelum kejadian, namun tidak menyangka arwah pergi buat selamanya.

"Sepatutnya saya jumpa dengan arwah di Setia Alam semalam, namun tak menyangka saya menemui arwah dalam keadaan dia tidak lagi bernyawa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mastura berkata, luluh hatinya sejurus dihubungi rakan Muhammad Zaim kira-kira jam 9.30 pagi semalam yang memaklumkan Allahyarham meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan.

Katanya, pemergian arwah anaknya itu meninggalkan kesan mendalam kerana Muhammad Zaim disifatkan seorang anak yang pendiam, baik dan bertanggungjawab.

"Dia tidak pernah sesekali meninggikan suara walaupun saya marah dia hanya mendiamkan diri.

"Malah, arwah juga tidak lokek dengan wang gajinya dan selalu memberi saya duit serta membeli barangan dapur.

"Saya reda dengan pemergiannya dan berdoa supaya rohnya ditempatkan bersama orang beriman," katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit 9 Pasir Panjang, jam 6 petang semalam.