Hari keempat: Dua nelayan hilang belum ditemui

FOTO : APMM Kedah/Perlis

Operasi carilamat nelayan yang hilang diteruskan hari ini.
Operasi carilamat nelayan yang hilang diteruskan hari ini.
A
A
A
LANGKAWI - Dua nelayan yang hilang di laut selepas bot mereka karam berhampiran Pulau Segantang Ahad lalu masih belum ditemui.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah/Perlis, Kepten Maritim Zulinda Ramly berkata, operasi mencari mangsa, Zainol Salleh, 39, dan Mohd Isa Mohamad, 50, kini memasuki hari keempat namun masih tiada sebarang petunjuk.

Menurutnya, pencarian diperluaskan ke 132.87 batu nautika menggunakan bot Kilat 6 Maritim Malaysia dan sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta sebuah bot Polis Marin.

"Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi turut memaklumkan Pihak Berkuasa Thailand berkenaan kejadian itu kerana ada kemungkinan hanyut ke perairan Thailand," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan dua nelayan tempatan dikhuatiri hilang selepas bot kelas B dinaiki mereka dipercayai karam berhampiran Pulau Segantang.
Artikel Berkaitan:


Kedua-dua nelayan berkenaan keluar menangkap ikan pada jam 6 petang Sabtu lalu namun sehari selepas itu, Zainol yang bertindak sebagai tekong sempat memaklumkan kepada isterinya bahawa bot mereka karam kira-kira 7.45 petang.

Zulinda turut mengingatkan orang ramai supaya melaporkan sebarang penemuan di laut atau di pesisir pantai kepada pasukan penyelamat menerusi talian 999 atau hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah/Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 / 04-966 5307