Penyelia kilang maut jatuh bangunan

A
A
A
GEORGETOWN - Seorang penyelia kilang maut selepas terjatuh dari tingkat 14 sebuah apartment di Jalan Tanjung Tokong di sini pada pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian jam 1.35 pagi itu mangsa yang berusia 26 tahun maut di tempat kejadian akibat cedera parah selepas terjatuh dalam kolam hiasan di tingkat lima apartment tersebut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa bersama lapan rakannya mendaftar masuk ke apartment tersebut pada jam 4.30 petang, Sabtu untuk berkumpul dan berhibur.

"Mereka menyewa apartment itu untuk sehari dengan bayaran RM200. Selepas mendaftar masuk, kesemua mereka mandi di kolam apartment.

"Bagaimanapun, mereka termasuk mangsa pulang ke apartment tersebut untuk bersuka ria sambil minum minuman keras pada jam 8.30 malam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Soffian berkata, pada jam 12.30 tengah malam mangsa telah keluar dari apartment itu untuk mencari salah seorang rakannya yang ketika itu berada di luar rumah sedang menghisap rokok.

"Ketika itu rakan mangsa sedang berdiri di kaki lima luar koridor bangunan. Mangsa yang dalam keadaan mabuk dan tidak stabil kemudiannya memanjat dinding koridor serta melompat untuk ke kaki lima luar bangunan itu.

"Oleh kerana mangsa dalam keadaan tidak stabil dan mabuk, dia telah tergelincir lalu terjatuh ke tingkat lima apartment tersebut. Ketika kejadian, hanya mangsa dan rakannya sahaja berada di luar manakala rakan yang lain berada di dalam rumah," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian.
Artikel Berkaitan:


"Pemeriksaan pada tubuh mangsa juga tidak menjumpai sebarang kesan kecederaan yang meragukan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan ujian Covid-19.

"Mangsa mempunyai satu rekod lampau dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.