Kebajikan 7 pelancong asing dipantau

Dari kiri Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar dan Andansura menyantuni salah seorang pelancong terkandas di Cherating, Chico, 81, dari Francisco.
Dari kiri Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar dan Andansura menyantuni salah seorang pelancong terkandas di Cherating, Chico, 81, dari Francisco.
A
A
A

KUANTAN - Kebajikan tujuh pelancong warga asing yang terkandas di negeri ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipantau oleh Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, antara perkara diberi perhatian ialah urusan rasmi berkaitan imigresen dan pembaharuan visa serta permohonan pengusaha sekitar untuk meminta kebenaran operasi gerai makan.

Beliau berkata, pihaknya telah menghubungi Jabatan Imigresen yang akan membantu dari segi penyambungan visa selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Andansura (dua dari kiri) menerima serahan bubur lambuk dari Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Kuantan bagi penduduk DUN Beserah.
Andansura (dua dari kiri) menerima serahan bubur lambuk dari Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Kuantan bagi penduduk DUN Beserah.

"Berhubung dengan permohonan operasi gerai makan, pihak kami telah mendapatkan perhatian Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk membenarkan kedai makan beroperasi di situ. Alhamdulillah MPK benarkan.

"Hal ini supaya pelancong di situ boleh membeli makanan dengan mudah kerana mereka tidak boleh memasak di hotel dan tidak dapat memesan makanan dalam talian," katanya pada sidang akhbar Program Edaran Bubur Lambuk DUN Beserah oleh Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Kuantan di Batu Hitam di sini semalam.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah, Zayana Zahira Mohd Isa berkata, edaran bubur lambuk akan dilaksanakan 12 kali sepanjang Ramadan dengan jumlah 1,200 bekas secara keseluruhan di beberapa lokasi berbeza.

"Jabatan Penerangan bertanggungjawab menyampaikan kepada masyarakat tentang Kempen Pencegahan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah mulakan penerangan ini sejak PKP fasa satu lagi namun untuk Ramadan, ada kelainan sedikit di mana kami menyediakan bubur lambuk kepada masyarakat," katanya.