7,000 pembayar zakat dalam talian sepanjang empat hari Ramadan

SAIPOLYAZAN
SAIPOLYAZAN
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) merekodkan sebanyak lebih 7,000 pembayar zakat secara dalam talian dalam tempoh empat hari Ramadan.

Difahamkan, jumlah itu amat menggalakkan khususnya ketika kerajaan melaksanakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M Yusop berkata, jumlah kutipan diterima itu membabitkan lebih RM900,000 bagi pembayaran zakat fitrah dan zakat harta yang dibuat menerusi platform EZakatPay.

"Sambutan yang diterima amat menggalakkan di mana ramai menggunakan kemudahan disediakan oleh LZS ini.

" Masyarakat Islam bukan sahaja boleh menunaikan zakat fitrah tetapi juga zakat harta sepanjang Ramadan melalui pautan http://fpx.zakatselangor.com.my," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tahun ini, kadar zakat fitrah di Selangor kekal seperti tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM7 seorang selaras kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Dalam pada itu, Saipolyazan berkata, LZS juga melantik seramai 1,878 Penolong Amil Fitrah (PAF) di 431 masjid dan surau seluruh negeri ini bagi memudahkan golongan kurang mahir dengan teknologi menunaikan kewajipan berzakat sepanjang Ramadan.

" PAF akan beroperasi pada waktu pagi bermula 9 hingga 11 pagi manakala waktu petang dari 2 hingga 4 petang.

Artikel Berkaitan:

“ Pelaksanaan kaedah manual ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dibangunkan LZS mengikut panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.