X

Kindly register in order to view this article
!

PKP: MPM mohon pelbagai pihak bantu atlet Para negara

 G Mohan
G Mohan
A
A

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) memohon badan korporat, penaja dan individu berkemampuan untuk tampil memberi sumbangan kepada atlet para kebangsaan yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak koronavirus (Covid-19).

Pengurus Besar MPM, G Mohan berkata, sumbangan tersebut dapat membantu dan memberi sokongan kepada atlet para bagi mencapai impian mereka di pentas antarabangsa.

"Kami juga ingin mengajak semua pihak membantu atlet para dengan memberi sumbangan melalui tabung Kempen Sokongan Atlet Para Covid-19 yang dilancarkan pada 7 April lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohan berkata, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun CIMB bernombor 8009473788 atas nama Majlis Paralimpik Malaysia atau untuk sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Jennifer di talian 012-2921340.

MPM sebelum ini melancarkan tabung Kempen Sokongan Atlet Para Covid-19, kesinambungan kepada program Fasa 1 pemberian bantuan 'Healthcare Kit MPM' untuk atlet para serta Projek Penyerahan Sumbangan Atlet Olahraga Para (Fasa 2) pada 7 dan 21 April lepas.

Hari ini, seramai 20 atlet para daripada sukan bola keranjang kerusi roda, tenis kerusi roda, bola sepak orang buta dan para olahraga menerima sumbangan keperluan asas daripada MPM dengan kerjasama Kelab Kiwanis Klang dan Persatuan Olahraga Para Negeri Selangor.

Sementara itu, Mohan berkata, inisiatif berkenaan merupakan tanda keprihatinan dan usaha berterusan pihaknya dalam memastikan tiada atlet para yang terpinggir daripada menerima bantuan sepanjang tempoh PKP. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!