Penularan Covid-19 terhadap pesakit SARI menurun

Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati penularan koronavirus (Covid-19) terhadap pesakit Severe Acute Respiratory Infection (SARI) menurun dengan ketara pada minggu epidemiologi ke-17 iaitu 25 April.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat hanya tiga daripada 2,168 sampel kes SARI disahkan positif Covid-19 dalam tempoh itu.

"Berbanding minggu epidemiologi ke-12 iaitu 28 Mac, terdapat 33 kes SARI disahkan positif daripada 263 sampel yang diambil," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, persampelan SARI melibatkan ujian pengesanan Covid-19 untuk semua pesakit dengan jangkitan paru-paru (pneumonia) di semua hospital KKM seluruh negara.

"KKM juga melaksanakan aktiviti survelan klinikal terhadap influenza-like illnesses (ILI) bagi mengesan Covid-19," katanya.

Beliau berkata, persampelan ILI dijalankan di lapan lokasi sentinel seluruh negara.

"Ia meliputi semua pesakit yang datang ke klinik kesihatan dengan gejala demam melebihi suhu 38 darjah Celsius, batuk dan sakit tekak tanpa sebarang pendedahan risiko yang diketahui," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini sebanyak 34,113 sampel telah diambil daripada aktiviti-aktiviti survelan yang dijalankan KKM.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah itu, sebanyak 6,100 sampel terdiri daripada sampel ILI dan SARI di mana 71 disahkan positif," katanya.

Katanya, aktiviti survelan akan diteruskan KKM bagi mengenalpasti penularan Covid-19 di kalangan masyarakat setempat.

"Aktiviti survelan ini sememangnya bertindak sebagai sistem pengesanan awal dan sistem amaran awal bagi penularan Covid-19 di negara ini," katanya.