Enam beranak termasuk bayi nyaris maut

Keadaan kereta dinaiki enam beranak yang remuk selepas jatuh ke tebing jalan akibat bertembung dengan sebuah MPV di lokasi kejadian. (Gambar kecil: Mohd Adli Mat Daud) - Foto Ihsan IPD Hulu Terengganu
Keadaan kereta dinaiki enam beranak yang remuk selepas jatuh ke tebing jalan akibat bertembung dengan sebuah MPV di lokasi kejadian. (Gambar kecil: Mohd Adli Mat Daud) - Foto Ihsan IPD Hulu Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU - Enam beranak termasuk seorang bayi berusia dua bulan nyaris maut apabila kereta dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan di Kilometer 3 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi (simpang Landas Jerangau Barat), di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Nurul Saila Mamat, 35, yang duduk di bahagian penumpang hadapan patah paha kanan, suaminya yang juga pemandu, Mohd Efendi Md Salleh, 38, bengkak di dada serta cedera di dagu.

Manakala, empat anak mereka iaitu Nurul Damia Qistina, 15, Muhammad Daiyan Ulhaq Harith, 5, hanya cedera ringan sementara Muhammad Darwish Thaqif, 10, pula patah bahu kanan dan luka di kepala

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud bagaimanapun berkata, bayi mereka, Nurul Delisya Qadira tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila enam beranak yang menaiki kereta Proton Saga FLX dalam perjalanan dari arah Kampung Tok Dor menuju ke Jerangau Barat untuk mengambil peralatan sekolah anak mereka.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah MPV jenis Proton Exora dipandu seorang lelaki yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan mereka sebelum merempuh kenderaan dinaiki keluarga tersebut.

"Akibat rempuhan kuat itu, kenderaan dinaiki keenam-enam beranak itu terbabas lalu jatuh ke tebing jalan di sebelah kiri manakala MPV tersebut terhenti di lorong kiri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan Hospital Dungun untuk rawatan manakala pemandu MPV berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, semua mangsa dilaporkan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta berkaitan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).