Pelajar warga Sudan cabul wanita dalam lif didenda

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pelajar warga Sudan dijatuhi hukuman denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana mencabul seorang wanita di dalam lif dua minggu lalu.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammed Osman Idris Babiker, 26, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mohammed Osman didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat, untuk mencabul kehormatan seorang wanita berusia 26 tahun di dalam sebuah lif di Blok J, Pacific Place, Jalan PJU 1A/4A, Ara Damansara, di sini, pada 11 pagi, 15 April lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua dari seksaan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pengajaran terhadap tertuduh, atas sebab mengambil kira kepentingan awam.

Bagaimanapun, lelaki itu yang diwakili peguam Zaflee Pakwanteh memohon hukuman ringan, atas alasan ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya.

“Tertuduh baharu sahaja tiba di Malaysia Februari lalu untuk menyambung pengajian di sebuah kolej di sini. Dia juga telah direman sejak tarikh tangkapnya pada 15 April lalu,” kata peguam itu.

Artikel Berkaitan:

Mengikut fakta kes, wanita itu yang tidak mengenali tertuduh, telah diraba lelaki itu di dalam sebuah lif lalu mangsa membuat laporan kepada pengawal keselamatan bangunan tersebut, sebelum tertuduh ditangkap. - Bernama