Hutang dikurangkan, beri lebih ruang Terengganu bantu rakyat

Orang ramai dilihat mempraktikkan penjarakan sosial 1 meter ketika membeli kuih-muih untuk dijadikan juadah berbuka puasa ketika tinjauan di Gong Kapas. -Foto Bernama
Orang ramai dilihat mempraktikkan penjarakan sosial 1 meter ketika membeli kuih-muih untuk dijadikan juadah berbuka puasa ketika tinjauan di Gong Kapas. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keputusan kerajaan Persekutuan mengurangkan kadar pemotongan hutang kerajaan negeri Terengganu melalui royalti minyak atau Wang Tunai Petroleum (WTP) bagi tahun 2020 membuka lebih ruang kepada kerajaan negeri untuk membantu rakyat yang terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata antara golongan yang perlu diberi perhatian adalah mereka yang terjejas pendapatan ekoran pelaksanaan PKP seperti pekerja swasta, mereka yang bekerja sendiri serta peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Impak pelaksanaan PKP kepada golongan yang tidak boleh keluar bekerja ini perlu diminimumkan. Ia boleh dilakukan dengan menambah dana program Pakej Rangsangan Terengganu Cakna yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi membantu rakyat yang terjejas ekoran COVID-19, yang setakat ini telah mempunyai empat fasa,” katanya kepada Bernama.

Pada Isnin, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam laman Facebooknya mengumumkan kerajaan Persekutuan telah bersetuju mengurangkan kadar pemotongan hutang kerajaan Negeri Terengganu melalui WTP bagi tahun 2020, sebanyak lima peratus berbanding 25 peratus sebelum ini.

Tahun lepas, kerajaan negeri menerima sebanyak RM1.277 bilion WTP daripada kerajaan pusat yang dibayar secara berperingkat mulai Januari hingga September dan jumlah itu selepas potongan hutang kerajaan negeri sebanyak 25 peratus.

Selain itu, Ahmad Azrin berkata, pengurangan kadar pemotongan hutang itu juga dapat membantu kerajaan negeri melakukan persiapan menghadapi pasca PKP dengan suasana ‘kebiasaan baharu’.

“Antara ‘kebiasaan baharu’ itu adalah meneruskan amalan penjarakan sosial. Di Terengganu ini sebahagian besar (ekonomi) disumbangkan oleh sektor pelancongan yang hanya boleh digerakkan apabila ada orang datang ke negeri ini jadi sesuatu perlu difikirkan bagaimana sektor pelancongan perlu bangkit kembali dalam situasi ‘kebiasaan baharu’ ini,” katanya.

Beliau berkata pengurangan kadar pemotongan hutang itu juga sangat tepat pada masanya susulan kejatuhan harga minyak yang akan turut menjejaskan nilai penerimaan WTP.

Artikel Berkaitan:

“Jumlah WTP yang Terengganu terima pada tahun lepas (RM1.277 bilion) adalah ketika harga minyak dunia pada kadar dalam US$60 setong tetapi kini harga minyak jatuh kepada kira-kira US$30 setong.

“Jadi jumlah WTP yang diterima tahun ini dianggarkan kurang separuh daripada yang diterima tahun lepas. Bayangkan sekiranya kerajaan Persekutuan masih memotong hutang kerajaan negeri sebanyak 25 peratus, ia akan memberi masalah kepada kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu Profesor Madya Dr Roshaiza Taha berkata pengurangan kadar pemotongan hutang juga membolehkan kerajaan negeri menyusun semula perancangan kewangan bagi tahun 2020 ekoran penularan Covid-19.

“Pada tahun ini kerajaan negeri perlu fokus kepada kebajikan rakyat berbanding pembangunan negeri. Rakyat perlu dibantu untuk pulih dari segi kewangan kerana ada yang kini kehilangan terus punca pendapatan dan kebiasaannya mereka ini tidak mempunyai simpanan walaupun untuk jangka pendek.

“Terdapat juga sumbangan keperluan asas lain yang boleh ditambah dan diperluaskan seperti pemberian lampin dan susu bayi yang amat diperlukan golongan itu,” katanya. - Bernama