[LAPORAN KHAS] 14 juta tempat duduk kapal terbang dibatalkan

Covid-19 menyebabkan pembatalan berjuta-juta tempat duduk dalam sektor penerbangan. - AFP
Covid-19 menyebabkan pembatalan berjuta-juta tempat duduk dalam sektor penerbangan. - AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Situasi industri penerbangan di Malaysia pada ketika ini masih suram tatkala krisis Covid-19 sudah menyebabkan sebanyak 7.3 juta tempat duduk dalam industri penerbangan Malaysia sudah dibatalkan.

Menurut jurucakap Suruhanjaya Penerbangan Awam (MAVCOM), Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan Malaysia dan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh negara-negara lain akibat Covid-19 telah mengakibatkan penurunan permintaan pengangkutan udara.

“Justeru, pertumbuhan trafik penumpang di Malaysia dijangka terjejas secara mendadak pada tahun 2020,” kata MAVCOM kepada Sinar Harian semalam.

Katanya lagi, syarikat-syarikat penerbangan Malaysia telah mengurangkan kapasiti tempat duduk bagi tahun 2020 sebagai tindak balas terhadap permintaan pengangkutan udara yang rendah dan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh negara-negara lain.

“Setakat 26 Mac 2020, dianggarkan sejumlah 7.3 juta tempat duduk telah dibatalkan, mewakili 8.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kapasiti tempat duduk bagi syarikat-syarikat penerbangan Malaysia bagi tempoh antara Januari dan Disember 2020.

“Bagi syarikat penerbangan asing yang beroperasi di Malaysia pula, dianggarkan sejumlah 6.7 juta tempat duduk telah dibatalkan dalam tempoh sama.

“Penerbangan domestik terpilih masih beroperasi untuk menyediakan kelangsungan perkhidmatan udara antara Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak,” katanya.

MAVCOM telah membuat semakan semula unjuran trafik penumpang Malaysia bagi tahun 2020 iaitu daripada pertumbuhan antara 4.6 peratus dan 5.7 peratus, kepada penurunan antara 36.2 peratus dan 38.1 peratus tahun ke tahun.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, pemulihan industri penerbangan Malaysia banyak bergantung kepada pemulihan negara China dari segi sektor perdagangan dan pelancongan.