X

Kindly register in order to view this article
!

Pelatih perubatan, suami ditahan terlibat 13 kes pecah rumah

Barangan yang dirampas dari kedua-dua suami isteri bersama seorang lelaki di Tanjung Tokong.
A
A

GEORGETOWN - Seorang pelatih perubatan ditahan bersama suaminya bagi membantu siasatan berhubung 13 kes pecah rumah di sebuah kondominium di Persiaran Halia 3, Tanjung Tokong di sini.

Kedua-duanya ditahan selepas polis menahan seorang lelaki di tingkat 37 kondominium tersebut pada jam 8 malam pada 23 April lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, susulan penahanan tersebut, suspek berusia 34 tahun itu membawa sepasukan polis ke sebuah rumah di Mutiara Apartment, Batu Feringghi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis merampas pelbagai barangan antaranya beberapa buah beg, empat dompet, beberapa botol minyak wangi berjenama dan dua buah kamera.

"Hasil maklumat awam, kita berjaya menahan suami isteri tersebut di hadapan lif Blok B kondominium tersebut pada jam 11.20 pagi, 25 April lalu.

"Hasil soal siasat, suspek lelaki yang berusia 24 tahun itu telah menunjukkan stor di tingkat 35 blok tersebut. Stor itu dipercayai dijadikan tempat meletak barangan yang dicuri.

"Pemeriksaan, kita merampas pelbagai barangan antaranya dua buah televisyen; enam buah beg pakaian, pelbagai barangan hiasan dan beberapa peralatan komputer," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pelbagai barangan antaranya komputer, komputer riba dan telefon bimbit dirampas dari pengamal perubatan di Jalan Kelawei 23 April lalu.
Pelbagai barangan antaranya komputer, komputer riba dan telefon bimbit dirampas dari pengamal perubatan di Jalan Kelawei 23 April lalu.

Soffian berkata, dengan penahanan tiga suspek tersebut, polis berjaya menyelesaikan 13 kes pecah rumah di kondominium tersebut.

"Sebanyak 13 kes itu berlaku sepanjang bulan ini di kondominium tersebut dengan jumlah kerugian RM296,350. Anggaran nilai rampasan daripada suspek adalah RM80,000. Suspek pertama tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan suspek kedua mempunyai enam rekod melibatkan dadah dan jenayah.

"Bagaimanapun isterinya yang berusia 20-an tidak mempunyai rekod jenayah. Kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah," katanya.

Dalam kes berlainan, polis berjaya menyelesaikan 22 kes pecah rumah di sebuah kondominium di Persiaran Gurney dengan tertangkapnya seorang pengamal perubatan, pada jam 6 petang pada 23 April lalu.

Polis merampas pelbagai barangan dari sepasang suami isteri dan rakan mereka dipercayai barangan curi.
Polis merampas pelbagai barangan dari sepasang suami isteri dan rakan mereka dipercayai barangan curi.

Soffian berkata, suspek berusia 38 tahun itu dipercayai memecah masuk ke rumah yang tidak berkunci pada awal pagi lalu mengambil barangan di ruang tamu sejak enam tahun lalu.

"Suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Kelawei di sini dan menemui pelbagai barangan dipercayai barang curi di ruang tamu dan bilik ketiga kediaman tersebut.

"Antara yang dirampas adalah beberapa buah televisyen; beberapa keping pasport; lapan keping kad pengenalan, 26 buah komputer riba; 67 buah telefon bimbit dan kamera pelbagai jenama.

"Hasil siasatan, suspek melakukan kegiatannya itu sejak 2014 dengan melibatkan jumlah keseluruhan kerugian RM493,615. Jumlah nilai rampasan kesemua barangan itu adalah RM160,000," katanya.

Beliau berkata, suspek yang tiada rekod jenayah direman sehingga 1 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!