Saingan Liga M masih belum dibenarkan: Ismail Sabri

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan masih kekal dengan keputusan tidak membenarkan saingan Liga Malaysia (Liga M) diteruskan untuk memutuskan rantaian penularan koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun sekiranya ada permohonan secara rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Kementerian Belia Sukan yang meminta saingan itu diteruskan, perkara itu akan diteliti kerajaan.

"Sebab walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan sekalipun, tetapi prosedur operasi standard (SOP) yang kita lakukan sekarang masih diteruskan.

"Misalnya dari segi perhimpunan beramai-ramai berkumpulan, sukan berkumpulan misalnya masih lagi tidak dibenarkan.

"Bagaimanapun kita akan tengok tarikh saingannya. Saya difahamkan liga akan bermula Jun. Tapi dalam masa satu atau dua bulan PKP ditamatkan masih terlalu awal untuk kita benarkannya," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan PKP di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan FAM akan menghantar permohonan rasmi agar aksi Liga M diteruskan dengan SOP yang dirangka khusus termasuk tidak membenarkan kehadiran penonton.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, perkara itu akan dipertimbangkan namun kerajaan juga akan dapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara tersebut.

"Kalau PKP tamat Jun, pertandingan pula diadakan Oktober atau November dan dilakukan dengan SOP tertentu seperti tiada penonton mungkin kita akan lihat semula," katanya.

Artikel Berkaitan: