5,433 sampel diuji, 10 disahkan positif Covid-19

Seramai 5,433 individu disaring dalam pemeriksaan komuniti bersasar di bawah Inisiatif Saringan Komuniti Covid-19 Kerajaan Selangor. (Gambar kecil: Amirudin)
Seramai 5,433 individu disaring dalam pemeriksaan komuniti bersasar di bawah Inisiatif Saringan Komuniti Covid-19 Kerajaan Selangor. (Gambar kecil: Amirudin)
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 10 orang daripada 5,433 individu yang disaring dalam beberapa pemeriksaan komuniti bersasar di bawah Inisiatif Saringan Komuniti Covid-19 Kerajaan Selangor disahkan positif koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lapan daripada 10 kes positif terbabit merupakan pesakit tidak bergejala (asymptomatic).

Menurutnya, kerajaan Selangor melaksanakan pemeriksaan komuniti bersasar di kawasan zon merah bagi membantu usaha melandaikan keluk sekali gus memutuskan penularan rantaian Covid-19.

“Inisiatif Saringan Komuniti Covid-19 ini berlangsung sebanyak tujuh pusingan melibatkan enam kawasan bermula dengan daerah Hulu Langat pada 11 dan 12 April dan berakhir dengan Bandar Baru Selayang pada 22 dan 23 April lalu.

“Sebanyak 5,433 sampel telah diuji, 10 daripadanya disahkan positif. Lapan daripada 10 kes tersebut merupakan pesakit tidak bergejala (asymptomatic),” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan secara pandu lalu dan dari rumah ke rumah (termasuk rumah penjagaan orang tua) menggunakan kaedah real time polymerase chain reaction (RT-PCR) yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, ia dilaksanakan secara bersepadu oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Selcare Clinic, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mereka yang telah menjalani saringan komuniti boleh memuat turun laporan pemeriksaan tersebut di http://www.selangorprihatin.com mulai 1 Mei ini.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri akan meneruskan saringan komuniti di Selangor bagi membantu usaha-usaha KKM mengenal pasti individu dijangkiti virus ini terutama dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, inisiatif saringan komuniti berkenaan akan terus dilaksanakan dalam masa terdekat, secara strategik dengan mengambil kira dapatan Selangor Task Force Covid-19 (STFC).

Beliau berkata, ia bagi meningkatkan kesiapsiagaan rakyat menghadapi norma baharu pasca-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memulihkan semula ekonomi negeri.