Mencontohi deportasi UAE

A
A
A

KITA kini kecoh dengan isu Rohingya yang kononnya membuat pelbagai tuntutan kepada kerajaan Malaysia. Namun setelah diteliti, saya secara peribadi berpendapat bahawa apa yang cuba dituntut oleh Pertubuhan Hak Asasi Etnik Myanmar Rohingya Malaysia (Merhrom) itu bukanlah suatu tuntutan yang berlebihan mahupun tidak masuk masuk akal.

Tuntutan yang dibuat oleh Merhrom adalah satu tuntutan kemanusiaan yang saya lihat sebagai munasabah dan perlu. Malah, etnik Rohingya di Malaysia bukanlah satu-satunya pelarian yang mengalami masalah hak asasi di Malaysia, ramai etnik lain yang mencari perlindungan di Malaysia turut mengalami masalah sama.

Masih saya ingat, dalam sekitar tahun 2010 saya pernah terlibat sebagai duta belia untuk Amnesty International Malaysia, kami pernah mendekati golongan pelarian dari Somalia yang turut mengalami isu dan masalah yang sama. Sering ditindas, diambil kesempatan, malah dianiaya oleh orang kita.

Namun, isu Rohingya ini bukanlah isu yang ingin saya bincangkan dalam rencana ini. Saya ingin membawa perhatian pembaca kepada undang-undang imigrasi dan deportasi atau pengusiran di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Di UAE, undang-undang imigrasi mereka amat ketat. Malah, imigran atau warga asing yang menetap atau bekerja di sana perlu memenuhi pelbagai peraturan sebelum boleh mendapatkan visa atau memasuki negara tersebut.

Kali pertama saya menjejakkan kaki di Dubai sekitar tahun 2017, saya tertarik dengan tingkah laku warga asing yang menetap di sana. Mereka ada yang datang dari Bangladesh, Filipina, India, Indonesia malah Malaysia. Tetapi mereka begitu berdisiplin, malah tidak melintas jalan sesuka hati. Sangat berbeza jika dibandingkan dengan tingkah laku mereka di negara sendiri.

Ini satu perkara yang membuatkan saya terfikir, sebenarnya undang-undang yang ketat boleh mendidik manusia menjadi lebih berdisiplin. Malah, penguatkuasaan di Dubai juga begitu efisien dalam menggunakan teknologi seperti pemantauan melalui kamera litar tertutup dan amat jarang untuk polis kelihatan di mana-mana.

Apakah undang-undang yang paling ditakuti oleh imigran atau rakyat asing yang bekerja di UAE? Salah satunya adalah undang-undang mengenai deportasi atau pengusiran warga asing dari UAE. Dalam undang-undang UAE, ada dua jenis deportasi iaitu deportasi melalui undang-undang (arahan mahkamah) dan deportasi melalui keputusan pentadbiran.

Artikel Berkaitan:

Jika seseorang rakyat asing melakukan jenayah seperti mencuri, mahkamah akan memerintahkan individu tersebut untuk menjalani hukuman terlebih dahulu sebelum diusir pulang ke negara asal. Jika dikenakan arahan deportasi oleh mahkamah, maka sudah tiada jalan untuk kembali ke UAE lagi.

Jika arahan deportasi dibuat atas arahan pentadbiran, keputusan tersebut boleh dibuat atas alasan seperti kepentingan awam, keselamatan awam atau demi menjaga moral awam.

Sebagai contoh, jika anda melanggar undang-undang jalan raya seperti melintas jalan tanpa menggunakan lintasan belang, ia mungkin kelihatan sebagai satu kesalahan kecil, namun jika kesalahan itu dilakukan secara berulang, kerajaan UAE boleh mengarahkan agar warga asing tersebut diusir keluar dari UAE atas alasan tidak mempunyai moral yang baik.

Ini adalah antara undang-undang yang baik yang wajar dicontohi oleh Malaysia dalam memastikan rakyat asing yang menetap di negara ini mematuhi undang-undang negara ini.

Jika rakyat asing yang menetap di negara ini sering dibayangkan dengan tindakan deportasi, insya-ALLAH masalah jenayah atau disiplin melibatkan warga asing di negara ini akan semakin berkurangan.

Di saat getir seperti hari ini, kita faham akan perasaan rakyat Malaysia yang merasakan kerajaan perlu mengutamakan mereka. Namun, ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kita mengabaikan prinsip kemanusiaan.

* Haeme Hashim ialah peguam di Tetuan Haeme Lew, Kuala Lumpur