Jurutera melayang RM40,000 ditipu 'sarjan'

No Image Caption
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seorang jurutera mengalami kerugian RM40,000 selepas terperangkap dengan sindiket penipuan Macau Scam dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, wanita berusia 27 tahun dari Sungai Ara itu dihubungi oleh seseorang mendakwa dari Mahkamah Tinggi Alor Setar kira-kira jam 11.30 pagi, 25 April lalu.

Mangsa dimaklumkan kononnya dia terlibat dengan kesalahan jenayah pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah.

Panggilan kemudian disambung kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis dan berjanji akan menghubunginya semula sebelum mangsa kemudian menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Khoo Chee Wei.

"Suspek meminta semua butiran perbankan dalam talian mangsa dan menakut-nakutkan mangsa kononnya sekiranya mangsa enggan memberikan butiran tersebut, dia akan ditahan kerana waran tangkap ke atas namanya telah dikeluarkan," katanya ketika dihubungi tadi.

Berikutan panik katanya, mangsa memberikan kesemua maklumat perbankan kepada suspek, namun terkejut mendapati wang dalam akaunnya telah dipindahkan ke sebuah akaun di atas nama seorang lelaki lain selepas pulang ke rumahnya.

Katanya, mangsa menyedari dirinya ditipu kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: